Anda di sini

Feri di Sungai Buluh kini beroperasi seperti biasa

Advertisement

KUCHING: Perkhidmatan feri di Sungai Buluh, Sadong Jaya kini beroperasi seperti biasa, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Aidel Lariwoo.

Menurutnya, operasi feri sebelum ini terpaksa dihentikan ekoran mengalami gangguan berikutan sistem ‘fender’ yang merupakan tiang penahan elektrik, tumbang.

“Hari ini (semalam) feri mula beroperasi seperti biasa dan pengguna boleh menggunakannya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pelancaran Pusat Internet 1Malaysia di Sadong Jaya dekat sini, semalam.

Kelmarin, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Kota Samarahan mengeluarkan kenyataan bagi memaklumkan perkhidmatan feri Sungai Buluh Sadong Jaya mengalami gangguan sementara berikutan sistem ‘fender’ yang merupakan tiang penahan elektrik, tumbang.

Tiang yang tumbang itu terletak di sebelah Kampung Seruyuk, Sebuyau sedang melalui kerja pembinaan semula bertujuan sebagai penahan feri.

Gangguan perkhidmatan itu akan berlaku ketika air pasang dan arus sungai yang deras sekali gus tidak selamat digunakan oleh perkhidmatan feri.

PengGuna feri yang hendak menyeberang Sungai Buluh ketika air pasang dinasihatkan untuk mencari jalan alternatif bagi mengelak masa menunggu terlalu lama.

Advertisement