Anda di sini

Empat ahli ‘Geng Ah Teng’ dicekup

Advertisement

POLIS percaya banyak kes curi kenderaan dan pecah rumah di bandar raya Kuching dapat diselesaikan dengan penangkapan empat anggota ‘Geng Ah Teng’ awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintenden Fauzilan Abdul Aziz berkata, dalam serbuan yang dilancarkan ke atas sebuah bilik hotel di Padungan sekitar jam 12.06 pagi semalam, dua lelaki dan seorang wanita ditangkap.

Malah, menurutnya, sebuah kereta Proton Perdana yang dilaporkan hilang di Flat KMC 24 Mei lalu dan Proton Waja serta pelbagai barangan elektronik yang dipercayai hasil kegiatan pecah rumah turut ditemui.

“Kita menangkap tiga suspek dan merampas sebuah kereta (Proton Perdana) yang dilaporkan hilang sebelum ini, selain beberapa barangan elektronik,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Bertindak atas siasatan dan maklumat risikan, pada kira-kira jam 3 pagi hari yang sama pasukan bertindak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching melancarkan serbuan ke atas sebuah rumah di Stampin dan menangkap seorang lelaki yang merupakan rakan subahat ketiga-tiga suspek.

Fauzilan berkata, hasil tangkapan tersebut, pasukan serbuan merampas sebuah lagi kereta Proton Perdana yang dilaporkan hilang 28 Mei lalu di Jalan Stampin.

“Kes ini masih dalam siasatan lanjut, namun hasil daripada tangkapan ini, kita percaya banyak kes curi kenderaan dan pecah rumah dapat diselesaikan.

“Mana-mana individu yang pernah menjadi mangsa kes pecah rumah diminta datang ke IPD Kuching untuk membuat pengecaman barang kes,” ujarnya.

Menurutnya lagi, kesemua suspek didapati positif dadah jenis syabu (Ampethamine/Methapethamine).

Tiga suspek direman selama empat hari ini bermula 30 Mei hingga 2 Jun.

Jika sabit kesalahan curi kenderaan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan, penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tujuh tahun dan dikenakan denda akan dikenakan.

Kesalahan pecah rumah dan curi di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, boleh dipenjara sehingga lima tahun dan boleh dilanjutkan hingga 14 tahun.

Fauzilan menasihati orang ramai yang balik kampung untuk memaklumkan kepada pihak polis.

“Kalau ada melihat kenderaan yang mencurigakan, segera lapor kepada kita. Ini kerana kes pecah rumah dan curi kenderaan selalu berlaku pada musim perayaan,” jelasnya.

Advertisement