Anda di sini

Budaya samseng dalam bola sepak harus dihentikan: KPN

Advertisement

Masalah semakin serius kerana sering tercetus pergaduhan

KUANTAN: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menggesa persatuan dan kepimpinan persatuan bola sepak di negara ini  menasihatkan anggota atau peminat masing-masing, agar menghentikan budaya ‘samseng’ dalam perlawanan bola sepak.

Beliau berkata perkara itu dilihat semakin serius sejak kebelakangan ini kerana pergaduhan sering tercetus semasa perlawanan bola sepak diadakan, malah ada orang awam yang turut dilaporkan cedera.

“Saya sangat berharap budaya samseng dan pergaduhan ini dapat dihentikan segera dan balik kepada semangat untuk memajukan sukan di negara kita agar dapat membawa nama Malaysia di persada antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Perhimpunan Pegawai Awam PDRM ke-8 bersama Ketua Polis Negara sempena peringatan hari polis ke-207 di Bukit Gambang Resort City di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin Ab Ghani, Presiden Kesatuan Kakitangan Perkhidmatan Tadbir dan Awam Pasukan Polis Semenanjung Malaysia (PACSU) Mahamad Bahrum dan Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Azih Muda.

Khalid berkata sukan bola sepak diadakan bertujuan untuk memberi peluang kepada golongan muda agar dapat meningkatkan keyakinan diri selain dapat menaikkan imej sukan negara atau persatuan masing-masing.

“Sukan adalah satu bentuk riadah untuk kita sama-sama menikmatinya tetapi bila berlaku pergaduhan, maki-memaki dan baling-membaling objek semasa perlawanan ia menjadikan aktiviti ini kurang sihat terutamanya kepada golongan muda.

“Kita tak nak anak-anak muda mengambil unsur samseng dan pergaduhan ini sebagai satu budaya kerana ia tidak bagus untuk kemajuan sukan di negara kita,” katanya.

Dalam pada itu katanya, PDRM turut memantau dan meningkatkan kawalan keselamatan penonton dan orang awam semasa perlawanan bola sepak berlangsung.

“Kita akan sentiasa memantau semua aktiviti sukan yang ada unsur-unsur pergaduhan dan mereka yang terus-menerus menghasut serta menimbulkan kekacauan akan kita ambil tindakan dan dibawa ke muka pengadilan sekiranya cukup semuabukti,” katanya. — Bernama

Advertisement