Anda di sini

Akta baharu ganti Akta Hasutan sedang diteliti

Advertisement

Oleh Rusnan Mustafa //

Kerajaan mahu perkasa undang-undang bagi menyatupadukan rakyat berbilang kaum, kata Nancy

GUNA DENGAN BAIK: Nancy (kanan) ditemani Aidel teruja melihat seorang kanak-kanak yang sudah pandai menggunakan komputer di Pusat Internet 1Malaysia Sadong Jaya, semalam.

SADONG JAYA: Akta baharu yang akan menggantikan Akta Hasutan sedang dalam proses penelitian dan diperhalusi dalam usaha kerajaan memperkasa undang-undang sedia ada di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata, pihaknya menerusi Jabatan Peguam Negara (JPN) sedang mendraf rang undang-udang yang berkaitan dengan keharmonian dan perpaduan negara.

“Akta baharu ini dipanggil Akta Harmoni dan setakat ini kita telah menerima tiga draf rang undang-undang berkaitan untuk penelitian dan kemas kini untuk kita mencari jalan memperkasakan undang-undang di negara ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Pusat Internet 1Malaysia Sadong Jaya di sini semalam.

Nancy memberitahu, rang undang-undang baharu itu juga akan mengambil kira unsur fitnah dan hasutan yang disebarkan menerusi multimedia.

“Tujuan kita bukan hendak menghukum tetapi hendak menyatupadukan rakyat. Kita mahu memperkemaskan undang-undang negara. Apabila ia dijadikan akta nanti ia tidak menyukarkan kita untuk mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas pihak yang tidak bertanggungjawab,” tegasnya.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Batang Sadong itu berkata, kerja-kerja memperhalusi rang undang-undang itu sedang dijalankan dan belum dapat dimuktamatkan.

“Setakat ini, JPN telah mengemukakan draf rang undang-undang ini dan terdapat perkara lain yang mereka akan kemukakan lagi, sebab itu kita tidak dapat memuktamatkannya lagi,” jelasnya.

Beliau memberitahu dengan adanya undang-undang baharu itu nanti, ia pastinya menjadi platform untuk mempereratkan silaturahim di kalangan rakyat yang berbilang bangsa di negera ini.

“Keadaan semakin hari semakin runsing terutamanya pada pilihan raya maka banyaklah penyebaran cerita-cerita berbentuk hasutan, cerita tidak betul dan fitnah yang dikeluarkan. Sebab itulah perlunya ada undang-undang yang mengawal perkara ini daripada terus berleluasa,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Aidel Lariwoo berkata, pihaknya memandang serius tentang penyebaran maklumat tidak tepat di dalam Internet yang memberi gambaran negatif terhadap usaha kerajaan.

“Sebab itu kita perlu mengambil langkah proaktif bagi memastikan kredibiliti kerajaan sentiasa mendapat gambaran yang baik oleh rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

Advertisement