Anda di sini

Sultan Nazrin diisytihar Sultan Perak yang baharu

Advertisement

ISTIADAT PENGISYTIHARAN: Sultan Nazrin Shah mencium keranda Almarhum ayahanda baginda Sultan Azlan Shah pada istiadat pengisytiharan dan pelantikan Sultan Perak yang baharu di Balairong Seri, Istana Iskandariah di Kuala Kangsar, semalam. — Gambar Bernama

KUALA KANGSAR:  Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah semalam diisytiharkan sebagai Sultan Perak ke-35 dalam istiadat pengisyitharan pelantikan di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, di sini.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jen (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin membuat pengumuman itu pada istiadat pelantikan dan perisytiharan di Balairong Seri, Istana Iskandariah, pada jam 3.15 petang.

Raja Nazrin, 58, kini dikenali sebagai Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Sultan Nazrin, yang merupakan putera sulung Sultan Azlan Shah, menggantikan ayahanda bagindanya yang mangkat kelmarin.

Sultan Nazrin kemudian melafazkan sumpah yang berbunyi: “Adalah kita Raja Nazrin Shah Ibni Sultan Azlan Shah bersumpah dengan Wallahi, Wabillahi, Watallahi, bahawa kita mengaku memerintah negeri Perak Darul Ridzuan dan sekalian takluk jajahannya menurut Perlembagaan Perak dengan adil mengikut hukum Allah.”

Setelah melafazkan sumpah, baginda menurunkan tandatangan di atas surat sumpah disusuli laungan ‘Daulat Tuanku’ sebanyak tiga kali oleh para hadrin.

Istiadat diteruskan dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria, sebelum Sultan Nazrin meletakkan tangan dan mengucup keranda  Almarhum Sultan Azlan Shah sebagai syarat supaya disempurnakan pemakaman jenazah.

Istiadat pengisytiharan pelantikan Sultan Perak yang baharu disempurnakan sejurus selesai sesi penghormatan terakhir pada jam 3 petang.

Dewan Negara Perak yang bersidang kelmarin telah memperkenankan pelantikan Sultan Perak yang baharu.

Sultan Azlan Shah, 86, mangkat pada jam 1.30 petang kelmarin dan jenazah baginda dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar semalam. — Bernama

Advertisement