Anda di sini

Sarawak garang di arena akuatik

Advertisement

KANGAR, PERLIS: Sarawak memberi amaran awal kepada pencabar lain di arena akuatik apabila berjaya menggondol dua emas, dua perak dan satu gangsa pada hari pertama di Kompleks Renang (KSN), Kangar semalam.

Emas disumbangkan oleh Erika Kong Chia Chia dalam acara 400m Rampaian Perseorangan wanita dengan mencatat masa terpantas 05:01.91s.

Selangor di tempat kedua (05:05.87s) dan gangsa milik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (05:09.63).

Emas kedua disumbangkan oleh Angela Chieng Chui Fei yang bersaing dalam acara 200m Kuak Kupu-Kupu.

Olahragawati Harapan MSNS 2011-2012 itu mencatat 02:20.59s, meninggalkan perenang Selangor di tempat kedua dengan catatan masa 02:21.16s dan Sabah di tempat ketiga (02:25.20).

Dalam acara 400m Rampaian Perseorangan lelaki, perenang Sarawak Alex Tiong Sie Hung merangkul perak dengan catatan masa 04:40.63s.

Beliau tewas di tangan perenang Wilayah Persekutuan yang mencatat masa terbaik 04:39.70s manakala gangsa disandang atlet Johor dengan catatan masa 04:42.30s.

Sarawak turut mengutip perak dalam acara 200m Kuak Kupu-Kupu setelah Vernon Lee Jeau Zhi tewas di tangan perenang Wilayah Persekutuan yang merekod masa terpantas 02:05.97s untuk emas.

Vernon mencatat masa 02:06.87s untuk menewaskan seorang lagi perenang Wilayah Persekutuan yang mencetak 02:08.21s bagi menggondol gangsa.

Arena terjun pula menghadiahkan gangsa pertama buat Sarawak menerus gandingan Enrique Maccartney Harold dan Leo Ah Boon Daniel.

Mereka mengutip mata keseluruhan 245.01, manakala penerjun dari Perak yang mengutip 303.78 memenangi emas dan gangsa milik Selangor dengan markah 263.91.

 

Advertisement