Anda di sini

Pahang kibar bendera separuh tiang tiga hari

Advertisement

KUANTAN: Bendera negeri Pahang dan bendera Persekutuan akan dikibarkan separuh tiang selama tiga hari bermula semalam sebagai tanda berkabung atas kemangkatan Sultan Perak Sultan Azlan Shah kelmarin.

Dalam satu kenyataan ringkas di sini, Unit Protokol Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang berkata pengibaran bendera separuh tiang itu adalah titah daripada Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah.

Sultan Azlan Shah, 86, mangkat pada jam 1.30 petang kelmarin dan jenazah baginda dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar hari ini (semalam).

Baginda memerintah Perak selama tiga dekad sejak ditabalkan pada 3 Feb 1984.

Sementara itu di Seremban, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan semalam merafak sembah takziah bagi pihak kerajaan negeri dan juga rakyat atas kemangkatan Sultan Azlan Shah.

“Bagi pihak kerajaan dan rakyat Negeri Sembilan, saya ingin menyampaikan sembah takziah kepada Duli Yang Maha Mulia Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Bainun, anakanda-anakanda serta kerabat-kerabat baginda di atas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Paduka Seri Sultan Perak yang ke -34, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah,” katanya menerusi akaun Facebook beliau.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mat Ali Hassan pula dalam satu kenyataan ringkas meminta semua agensi kerajaan negeri dan persekutuan di negeri itu mengibarkan bendera separuh tiang semlam sebagai tanda berkabung.

Di Kota Kinabalu, semua premis jabatan dan agensi persekutuan di Sabah dikehendaki menaikkan bendera Malaysia separuh tiang selama tujuh hari bagi menghormati kemangkatan Sultan Azlan Shah.

Arahan itu dikeluarkan menerusi satu kenyataan ringkas di sini semalam oleh Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Abu Bakar Hassan. — Bernama

Advertisement