Anda di sini

Cuti umum beri kesempatan rakyat ziarah jenazah Sultan Azlan Shah

Advertisement

KUALA KANGSAR: Cuti umum di Perak yang diisytiharkan semalam sempena istiadat pemakaman Sultan Perak Sultan Azlan Shah memberi peluang kepada rakyat jelata menziarahi jenazah Almarhum.

Rakyat pelbagai kaum berkumpul di pekarangan Istana Iskandariah sejak jam 8 pagi untuk memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum yang disemayamkan di Balairong Seri Istana Iskandariah, di sini.

Sultan Azlan Shah, 86, mangkat pada jam 1.30 petang kelmarin dan jenazah baginda dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar hari ini (semalam).

Seorang pekerja kilang, Wan Khalijah Kamarudin, 45, dari Kampung Padang Changkat, di sini berkata cuti umum semalam memberi peluang kepadanya untuk membawa dua anaknya menziarah jenazah Sultan yang disayangi rakyat.

“Hari ini (semalam) saya bersama suami serta anak datang ke sini seawal jam 8.30 pagi dan saya amat terharu kerana kerajaan negeri memberi peluang kepada rakyat untuk masuk ke istana dan menziarahi jenazah tuanku,” katanya kepada Bernama.

Seorang kontraktor, Wat Son Leong, 36, dari Ipoh berkata walaupun bekerja sendiri, namun dia tetap menggunakan cuti umum untuk menziarahi jenazah Almarhum.

“Saya memang kerja sendiri, setiap hari memang akan ada aktiviti tetapi sebab hari ini cuti umum, saya juga ambil cuti, menziarah baginda sebagai tanda hormat saya,” katanya.

Pelajar UniKL cawangan Lumut, Mohd Mujahed Shahidan, 18, berkata cuti umum semalam digunakan sebaik mungkin untuk memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum.

“Kami pelajar sangat sedih dengan kehilangan Almarhum, peluang untuk menziarah amat kami hargai,” katanya. — Bernama

Advertisement