Anda di sini

Boling padang sumbang emas pertama

Advertisement

KANGAR, PERLIS: Keceriaan menyelubungi kem boling padang Sarawak susulan kejayaan merangkul emas dalam kategori beregu empat pemain wanita di Kompleks Sukan Negeri Perlis semalam.

Aksi serba mantap Nur Haninah Humairah Zafrullah, Nur Fithri Yaani Hamdin, Nur Fitri Rosmadi dan Sharifah Shaza Nisrina Mumtaz Wan Jemudin berjaya menjinakkan Terengganu 15-6 bagi mengutip pingat pertama dalam acara boling padang.

“Alhamdullillah, pemain kita berjaya meraih emas pertama dalam acara boling padang,” demikian menurut Presiden Persatuan Boling Padang Sarawak (SALBA) Awang Mahyan Awang Mohamed semalam.

Mahyan bagaimanapun menegaskan misi mereka masih belum tercapai kerana SALBA meletakkan sasaran tiga emas untuk dibawa pulang.

“Saya harap kemenangan ini akan menyemarakkan lagi semangat pemain untuk memburu lebih banyak pingat dalam acara seterusnya.”

Sementara itu, Sarawak menambah satu lagi pingat emas dalam acara tenpin boling menerusi acara beregu wanita yang diadakan di Pusat Boling Kayangan Square Mall semalam.

Skuad B Sarawak yang diwakili Jocelyna Judith Jonathan dan Nerosha Keligit Thiagarajan merekod jatuhan pin terbanyak dengan 2399 bagi menggondol emas.

Negeri Sembilan yang diwakili Nur Dayana Zuhdi dan Nuráin Mustaffa ketinggalan 38 pin berpuas hati dengan perak.

Sementara Faten Najihah Ahmad Faik dan Sharifah Munirrah Syed Mohsin dari Pahang menggondol gangsa setelah melakukan jatuhan pin sebanyak 2342.

Acara sama turut menghadiahkan gangsa menerusi gandingan Anthony Luang Cheng dan Mohd Uzair Irsyad Noor Azrul setelah mencetak jatuhan pin sebanyak 2454.

Emas milik Abdul Basit Mohamad/ Ahmad Daniel Zainal Abidin dari Melaka (2547) manakala perak disandang Arif Fauzi Shah/Mohamad Farhan Azri Mohamad Ariff dari Perak (2477).

 

Advertisement