Anda di sini

Perdana Menteri rafak takziah kepada kerabat diraja Perak

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merafak takziah kepada kerabat diraja Perak atas kemangkatan Sultan Perak Sultan Azlan Shah.

“Sembah takziah atas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak yang ke-34, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah. Al-Fatihah,” kata perdana menteri dalam entri Facebook beliau di sini semalam.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengumumkan kemangkatan Sultan Azlah Shah, 86, secara langsung menerusi TV1, Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada jam 3.40 petang semalam.

Baginda mangkat pada jam 1.30 petang dan akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas solat Asar hari ini.

Baginda yang telah memerintah Perak selama tiga dekad sejak ditabalkan pada 3 Feb 1984, akan disemayamkan di Balairong Seri Istana Iskandariah, Kuala Kangsar untuk penghormatan terakhir.

Berikutan kemangkatan Sultan Perak, Najib yang sedang dalam rangka lawatan rasmi ke China, akan pulang ke Malaysia malam ini (malam tadi) untuk memberi penghormatan terakhir.

Jurucakap Pejabat Perdana Menteri berkata, Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor akan pulang sejurus selepas menghadiri satu majlis di Beijing.

Selepas memberi penghormatan terakhir kepada almarhum di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar hari ini, mereka akan kembali ke Beijing untuk menyambung lawatan rasmi enam hari yang bermula semalam sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik dijalin antara Malaysia dan China. — Bernama

Advertisement