Anda di sini

Najib pulang untuk ziarah jenazah almarhum Sultan Perak

Advertisement

BEIJING: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang dalam rangka lawatan rasmi ke China, akan pulang ke Malaysia malam ini (malam tadi) untuk memberi penghormatan terakhir kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, yang mangkat semalam.

Jurucakap Pejabat Perdana Menteri berkata, Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor akan pulang sejurus selepas menghadiri satu majlis di sini.

Selepas memberi penghormatan terakhir kepada almarhum di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar esok (hari ini), mereka akan kembali ke Beijing untuk menyambung lawatan rasmi enam hari yang bermula kelmarin sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik dijalin antara Malaysia dan China.

Pada sebelah pagi esok (pagi ini), perdana menteri beliau sepatutnya menaiki kereta api laju untuk ke Tianjin yang mengambil masa perjalanan 33 minit dengan beliau akan menyaksikan upacara pecah tanah projek penyulingan air laut dan penghasilan garam Xianda’s Integrated Seawater Desalination and Salt Making di Zon Perindustrian Nangang.

Menteri Pertahanan yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dijangka mewakili beliau pada majlis itu.

Jurucakap itu berkata pertemuan dua hala antara Perdana Menteri dan rakan sejawatnya Li Keqiang yang dijadualkan petang esok (petang ini) akan diteruskan mengikut jadual. — Bernama

Advertisement