Anda di sini

Tiga balai bomba baharu dibina di S’wak

Advertisement

Oleh Clare Cinderella

 

MIRI: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan membina tiga buah balai bomba dan penyelamat baharu di negeri ini terletak di kawasan pinggir bandar dengan kos bernilai RM15 juta.

Timbalan Menterinya Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, tiga buah balai bomba baharu itu ialah Balai Bomba Batu Niah yang akan dibina mulai November depan, Balai Bomba Samalaju di Bintulu dan Balai Bomba Tanjung Manis, kedua-duanya dijangka dibina pada 2015 selepas tender dikeluarkan.

“Kita berasa keperluan bagi membina ketiga-tiga balai bomba ini kerana jarak dan kedudukannya jauh dari balai bomba terdekat (di kawasan bandar) seperti Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah dibina atas tapak seluas 2.07 ekar dengan kos RM5 juta dan jaraknya dengan Balai Bomba Miri ialah 70 kilometer.

“Kewajaran mengenai pembinaan Balai Bomba ini kerap dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang dan memahami keperluan kemudahan, maka kita menunaikan janji untuk rakyat di kawasan Sibuti,” katanya.

Manakala, Balai Bomba Samalaju juga bernilai RM5 juta dibina atas tapak seluas 3.1 ekar terletak pada jarak 60 kilometer dari Balai Bomba Bintulu, manakala Balai Bomba Tanjung Manis juga bernilai RM5 juta dibina atas tapak seluas 4.4 ekar, sejauh 65 kilometer dari balai terdekat, Balai Bomba Sungai Merah, Sibu.

Menurut Halimah, kementeriannya juga meluluskan projek menaik taraf Balai Bomba Tatau dengan kos RM300,000 menggunakan bangunan lama Lembaga Air Tatau.

“Di bawah rancangan pelaksanaan atau ‘Rolling Plan’ (RP) keempat (dalam Rancangan Malaysia Ke-10) 2015 terdapat beberapa balai bomba baharu seperti di Sibu Jaya, Daro, Bintagor, Simunjan dan Sarikei.

“Selain mengadakan lawatan ke Sibuti serta Niah dan Samalaju saya juga akan melawat Belaga untuk meninjau keadaan dan keperluan membina sebuah balai bomba di sana yang dicadangkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bagi 2016 hingga 2017,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Miri (LTM) di sini, semalam.

Terdahulu, Halimah merasmikan Program Keselamatan Jalan Raya bertemakan ‘Perjalanan Selamat, Keluarga Bahagia’ dianjurkan bersama Sarawak Shell Berhad, Malaysia Airport Berhad Miri dan Awan Inspirasi.

Hadir sama Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak Nor Hisham Mohamad.

Mengenai isu kebakaran yang kerap berlaku di luar bandar khususnya di rumah-rumah panjang di negeri ini, Halimah menggalakkan penduduk supaya mengambil bahagian dalam penubuhan pasukan Bomba Sukarela.

Katanya, penubuhan pasukan sukarela bukan sahaja boleh membantu mengawal atau memadam kebakaran, malah turut menyemai kesedaran mengenai pentingnya mencegah kebakaran.

Sehubungan itu, beliau menekankan supaya penduduk sama ada di bandar atau di luar bandar supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan bermula dari rumah kerana kesilapan kecil jika tidak ditangani segera mengakibatkan kemusnahan lebih besar.

Advertisement