Anda di sini

Program lawatan ke Kuching beri pendedahan kepada belia Penan

Advertisement

KUCHING: Program Lawatan Sambil Belajar 2014 Belia Penan Murum selama dua hari di sini bermula semalam disifatkan sebagai pendedahan terbaik kepada belia Penan yang umumnya tinggal jauh dari bandar.

Menteri Muda Pelancongan Datuk Talip Zulpilip berkata, program julung kali dianjurkan itu dilihat sungguh bermanfaat kerana peluang itu dapat memberi pendedahan yang berguna kepada mereka untuk mencapai kejayaan pada masa akan datang.

“Sama seperti kaum lain di negeri ini, peluang untuk berjaya juga terdapat pada kaum Penan.

“Oleh itu, kita gembira dan menyambut baik program sebegini kerana ia sekali gus dapat memberi pendedahan dan galakan kepada remaja lepasan sekolah dan belia Penan khasnya kerana kita yakin mereka juga boleh berjaya.

“Justeru, kita menyokong usaha sebegini kerana ia berguna terutamanya bagi mereka (kaum Penan) yang tinggal jauh dari bandar didedahkan dengan peluang yang ada seperti pekerjaan yang terdapat pada masa ini kerana kita melihat masih kurang pendedahan, pengetahuan dan pengalaman untuk mereka.

“Oleh sebab itu, kita berharap program ini (lawatan sambil belajar) dapat memberi pendedahan yang berguna kepada mereka untuk mengubah kehidupan mereka pada masa depan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran program berkenaan di Menara SEDC di sini, semalam.

Talip yang juga Pengerusi SEDC menyifatkan program julung kali yang dianjurkan bersama Tabung Amanah Bakun itu sebagai langkah proaktif dalam mengembangkan lagi potensi belia Penan.

Ia mendapat kerjasama Pusat Latihan Proaktif, Kolej Sunway Kuching, Tabung Ekonomi Gagasan Anak Bumiputera Sarawak (TEGAS), Sarawak Energy Berhad, Kelab Belia Belaga Sarawak (KBBS), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Unit Pembangunan Tenaga Kerja Sarawak (SWDU), Institut Perguruan Batu Lintang dan Akademi Alvin Leong.

“Tahniah dan terima kasih kepada pihak penganjur kerana berjaya menganjurkan program yang cukup bermanfaat ini serta memberi peluang kepada anak-anak dan belia dari Murum mengikuti program ini,” katanya.

Sementara itu, jawatankuasa penganjur yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Sunway Kuching Joseph Lim Jit Sek dalam ucapan alu-aluannya memberitahu objektif program tersebut dianjurkan adalah untuk meningkatkan motivasi dan semangat belia Penan untuk berusaha lebih gigih lagi bagi memperkasakan kemahiran mereka.

“Kita juga berharap belia yang terlibat sedar akan tanggungjawab dan harapan yang digalas untuk mencapai kejayaan pada masa akan datang.

“Bukan itu sahaja, kita ingin memperluaskan pengetahuan belia tentang persekitaran dan pembangunan negeri dan negara ini,” jelasnya.

Terdahulu, peserta berpeluang mendengar penerangan tentang peluang dan program yang terdapat di SEDC yang disampaikan oleh Pengarah Bahagian Hubungan Korporat dan Komunikasi dan Pelancongan dan Bahagian Kegiatan Edwin Abit.

Advertisement