Anda di sini

Lebih RM5 juta dibelanjakan bagi 4,322 penerima bantuan kebajikan

Advertisement

MIRI: Kerajaan persekutuan dan negeri membelanjakan lebih RM5 juta untuk 4,322 penerima bantuan kebajikan di sini dari bulan Januari hingga Mei tahun ini.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, ia merangkumi pelbagai skim yang diperuntukkan untuk golongan memerlukan.

Justeru, beliau mengingatkan golongan berkenaan supaya sentiasa mengemas kini berkaitan dokumentasi dengan pihak jabatan agar tidak digugurkan daripada senarai penerima.

Ini, katanya, termasuk kad khas bagi orang kurang upaya (OKU) yang kerap tidak dituntut oleh waris atau penjaga.

“Sehingga Mei (2014), sebanyak 284 kad OKU belum dituntut bagi seluruh Miri,” katanya pada Majlis Sejambak Kasih sempena Hari Gawai Dayak di sini semalam.

Fatimah berkata, selagi kad berkenaan dituntut, pelbagai keistimewaan yang diperuntukkan kerajaan kepada golongan berkenaan tidak dapat dinikmati.

Mengenai laporan pihak tidak bertanggungjawab cuba menyamar sebagai pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan menawarkan khidmat menguruskan hal dokumentasi untuk golongan OKU secara berbayar, Fatimah mengingatkan golongan sasaran agar sentiasa berhati-hati.

“JKM menawarkan perkhidmatan secara percuma kepada masyarakat dan bukannya berbayar,” jelasnya.

Sementara itu, Pengurus Besar Hotel Dynasty Tony Pui berkata program Sejambak Kasih bagi memberi sesuatu kepada masyarakat terutamanya golongan OKU.

“Sejak 13 tahun lalu, kita dan JKM bersama-sama membantu golongan memerlukan dalam menghadapi perayaan utama,” kata Tony.

Turut hadir Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus  dan Pengarah JKM Abang Shamsudin Abang Seruji.

Seramai 100 orang terdiri pelbagai golongan memerlukan menerima bantuan sempena Hari Gawai Dayak pada program anjuran bersama JKM dan Hotel Dynasty itu.

Advertisement