Anda di sini

Kes Lans Koperal Azuan diklasifikasi kes bunuh

Advertisement

TELUK INTAN: Polis mengklasifikasikan kes Lans Koperal Mohd Azuan Abdullah yang maut selepas dirempuh oleh kereta dinaiki penjenayah kelmarin sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata klasifikasi itu berdasarkan perbuatan penjenayah yang didapati sengaja merempuh dari arah belakang motosikal anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) berkenaan.

Berdasarkan siasatan awal, polis percaya penjenayah memang sengaja mahu menyebabkan kematian anggota terbabit, katanya dalam sidang media selepas meninjau perjalanan pengundian awal di Dewan Serba guna Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, di sini semalam.

Dalam insiden jam 1.15 tengah hari itu, Mohd Azuan, 25, anggota URB Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian, maut di tempat kejadian manakala rakan setugasnya cedera parah selepas motosikal yang ditunggang mereka dirempuh kereta penjenayah. — Bernama

Kejadian berlaku di Batu 10 menghala Alor Pongsu dekat Parit Buntar, ketika kedua-duanya dilapor mengejar sebuah kereta yang dinaiki suspek dalam kes samun van rokok sebelum itu.

Menurut Acryl Sani polis memperhebat gerakan memburu penjenayah terbabit.

Pada pengundian awal semalam, seramai 410 daripada 60,349 pemilih berdaftar layak mengundi awal dan kebanyakannya anggota polis serta keluarga mereka. — Bernama

Advertisement