Anda di sini

Kampung tradisi Melayu perlu lebih kemas

Advertisement

Oleh Mahathir Haroun

 

RINGANKAN BEBAN: Dr Hazland mennyerahkan bantuan kepada salah seorang mangsa kebakaran di Kampung Tabuan Haji Drahman, semalam.

KUCHING: Kerajaan mempunyai perancangan untuk menstruktur semula kampung tradisi masyarakat Melayu agar lebih teratur, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni.

Beliau berkata, rancangan itu setakat ini masih di peringkat awal yang merangkumi perbincangan.

Penstrukturan semula kampung, menurutnya, adalah penting untuk mengelak kesan buruk bencana, mengurangkan gejala sosial dan meningkatkan taraf hidup penduduk.

“Setakat ini seperti yang kita maklum, Projek Pembangunan Darul Hana merupakan pelopor kepada penstrukturan semula perkampungan tradisi Melayu yang terletak di Seberang Hilir.

“Kita di Demak Laut juga merancang untuk membuat projek sama agar susun atur rumah lebih baik berbanding sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Dekat Di Hati Sarawak FM di Kampung Tabuan Haji Drahman di sini, semalam.

Dr Hazland berkata, penstrukturan semula kampung biasanya akan mengambil masa lima hingga 10 tahun untuk disiapkan kerana merangkumi banyak spesifikasi.

Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan, penduduk kampung perlu mengambil beberapa pendekatan seperti terlibat dengan program latihan bomba dan mewujudkan pasukan sukarela bomba.

“Kita sedia maklum, dengan adanya pengetahuan dan pasukan sukarela bomba, kesan buruk kebakaran mungkin dapat dikurangkan,” ujarnya.

Selain itu, menurutnya, kerajaan juga akan memberikan pam air kepada kampung-kampung yang berisiko tinggi sekiranya berlaku kebakaran.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Seksyen Radio RTM Sarawak Faridah Sulong berkata, Program Dekat Di Hati dijalankan untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran dan mereka yang kurang berkemampuan.

Mangsa kebakaran di Kampung Tabuan Haji Drahman menerima bantuan berupa peralatan dapur, kelengkapan ibadah, barangan makanan dan keperluan dapur.

Pada 7 Mei lepas sebanyak sembilan buah rumah musnah dalam kebakaran yang mengorbankan tiga nyawa selain 64 mangsa terjejas akibat bencana itu.

Advertisement