Anda di sini

Josephine Tuah nyatakan pendirian sokong Tiong

Advertisement

MIRI: Salah seorang Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Josephine Tuah memberi sokongan sepenuhnya terhadap pemangku presiden parti itu, Datuk Seri Tiong King Sing.

Josephine sebelum ini dikatakan menyokong bekas presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom merupakan antara empat AMT yang diarah keluar pada mesyuarat, 23 Mei lalu kerana dilaporkan serta mempunyai bukti menyokong Mawan dan turut difahamkan mahu menyertai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

“Saya amat naif (pada ketika itu), tetapi kini saya pasti langkah bekas presiden adalah salah dan melanggar perlembagaan parti,” katanya di sini semalam.

Sebenarnya, beliau sebelum ini membuat keputusan menyokong Mawan setelah diberikan penjelasan oleh beberapa individu bahawa apa yang dilakukan oleh bekas presiden itu adalah betul.

Lebih memburukkan keadaan, ia terjadi ketika Mawan meninggalkan parti secara tiba-tiba dan semua pihak terkejut dengan tindakannya itu.

“Tindakan itu (hakikat Mawan keluar SPDP) tidak dapat kami terima (pada ketika itu),” jelasnya.

Sebagai seorang ahli SPDP bertanggungjawab, beliau bakal menulis surat kepada pihak lembaga disiplin parti untuk menjelaskan mengapa perkara itu terjadi sebelumnya.

“Saya turut berharap bahawa kenyataan serta penjelasan saya bakal diterima oleh pihak lembaga disiplin,” ujar Josephine.

Sementara itu, beliau pada masa sama ingin menasihati ahli-ahli SPDP untuk terus setia bersama parti.

“SPDP adalah komponen Barisan Nasional (BN) mengapa kita perlu keluar dan cuba masuk setelah itu,” katanya.

Advertisement