Anda di sini

Enggan ulas tuduhan media Indonesia

Advertisement

Oleh Mahathir Haroun

Situasi sebenar tuduhan Malaysia rampas tanah masih tidak diketahui: Adenan

KUCHING: Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem enggan mengulas lanjut mengenai laporan media Indonesia yang menuduh Malaysia merampas dan merancang membina rumah api di tanah milik mereka dikenali sebagai Pulau Tanjung Datu.

Beliau berkata, situasi sebenar mengenai tuduhan itu masih tidak diketahui dan agak sukar untuknya untuk membuat sebarang kenyataan.

“Saya tidak dapat memberi komen mengenai perkara ini sehingga mengetahui mengenai situasi sebenar.

“Ini sahaja yang boleh saya beritahu ketika ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Padang Sintetik Yayasan Sarawak dan Majlis Jamuan Petang Sempena Ulang Tahun Ke-43 Yayasan Sarawak semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan media Indonesia yang menuduh Malaysia merampas tanah milik Indonesia untuk membina rumah api di Pulau Tanjung Datu.

Ahad lepas, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyangkal laporan media negara jiran itu.

Menurutnya, beliau tidak pasti sama ada nama pulau yang dimaksudkan itu wujud kerana sejarah hanya mencatatkan Tanjung Datu berada dalam tanah Malaysia.

“Ini merupakan isu yang telah lama berlaku, kita masih ingat beberapa tahun lepas ada juga tuduhan mengatakan Malaysia mengambil 1,400 tanah di Camar Bulan, Kalimantan Barat berhadapan Teluk Melano,” katanya.

Wan Junaidi berkata, biasanya isu tersebut tidak wujud kerana sengaja ditimbulkan oleh ahli politik Indonesia ketika pilihan raya.

“Sebenarnya tiada isu pun, ia hanya dibuat-buat kerana kerajaan Indonesia mengetahui tanda di sepanjang sempadan Indonesia berserta bacaan GSP,” ujarnya.

Malah Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI) Laksamana Agus Suhartono dipetik sebagai berkata, Malaysia tidak pernah merampas tanah di Camar Bulan dan Tanjung Datu di Kalimantan Barat seperti tuduhan sekumpulan rakyat republik itu.

Menurutnya, anggota TNI mengawai kawasan sempadan itu sesuai dengan perjanjian Indonesia-Malaysia.

Hadir sama isteri Ketua Menteri Puan Sri Datuk Jamilah Anu, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohd Morshidi Abdul Ghani dan Pengarah Yayasan Sarawak Datu Abu Bakar Marzuki.

Advertisement