Anda di sini

Elakkan memandu dalam keadaan mabuk: Halimah

Advertisement

MIRI: Menyambut perayaan mengikut adat resam masing-masing adalah sesuatu yang wajar, namun amalan memandu dalam keadaan mabuk patut dielakkan kerana boleh meningkatkan kemalangan ketika berada di jalan raya.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata tindakan memandu ketika mabuk membahayakan diri sendiri serta orang lain dan dalam keadaan yang tidak dijangkakan.

“Bagaimanapun bahaya boleh dielakkan, sekiranya disiplin tidak memandu mengambil minuman keras dibudayakan oleh pengguna,” katanya pada Program Keselamatan Jalan Raya bertemakan ‘Perjalanan Selamat, Keluarga Bahagia’ dianjurkan bersama Sarawak Shell Berhad, Malaysia Airport Berhad Miri dan Awan Inspirasi di Lapangan Terbang Miri (LTM) semalam.

Program tersebut yang diadakan setiap tahun LTM di sini, dianjurkan sempena perayaan Hari Gawai Dayak dan musim cuti sekolah pertengahan tahun.

Menurut Halimah, satu lagi langkah mengurangkan kemalangan dan bilangan kenderaan di atas jalan raya semasa perayaan dan cuti sekolah ialah menggalakkan pengguna menggunakan kenderaan awam untuk balik ke kampung halaman bagi tujuan menyambut perayaan.

“Sehubungan itu, usaha agensi penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), amat diperlukan bagi memastikan peraturan keselamatan jalan raya dipatuhi setiap masa,” katanya.

Halimah juga mahu Konsep 5E perlu diterima dan diaplikasikan dengan baik oleh semua pihak termasuk pengguna jalan raya agar mereka saling menghormati hak pengguna lain dan kesedaran terhadap keselamatan jalan raya dapat ditingkatkan.

Katanya, kerajaan amat sedar bahawa kesan kemalangan jalan raya adalah amat serius dan boleh mendatangkan krisis sosial kepada negara, justeru melalui Kementerian Pengangkutan Jalan, Pelan Keselamatan Jalan Raya 2011-2020 telah dirangka dan menitikberatkan Konsep 5E iaitu ‘Education; Enforcement; Engineering; Environment; Evaluation’.

“Saya percaya di peringkat negeri, Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Sarawak, bertanggungjawab merangka dasar dan melaksanakan program-program keselamatan jalan raya termasuk mendidik generasi muda melalui modul-modul pendidikan yang dijadikan mata pelajaran di peringkat sekolah rendah,” jelas beliau.

Terdahulu, Pengurus Khidmat Penyelenggaraan Sarawak Shell Victor Maiyor memberitahu program seumpama itu diadakan di Miri dan juga Kota Kinabalu, Sabah ke arah meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan di jalan raya kalangan pengguna khususnya menjelang musim perayaan.

Hadir sama Ahli Parlimen Miri Ahmad Lai Bujang, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Awan Inspirasi, Lt Jeneral Datuk Hanif Darimi, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM), Lawrence Lai dan Pengurus Malaysia Airport Miri, Nor Bashah.

Advertisement