Anda di sini

Buku Jalanan kongsi minat membaca tanpa mengira usia

Advertisement

Oleh Siti Aisyah Ramli

 

ISI MASA LAPANG: Warga kota dialu-alukan untuk mengunjungi Buku Jalanan di Tebingan Kuching setiap hari Sabtu.

BUDAYA membaca tidak hanya untuk golongan muda malah ia juga dituntut kepada golongan dewasa bahkan juga kepada warga emas.

Pengasas Buku Jalanan Kuching, Mohammed Farris Kasim, 23, mengambil kesempatan yang ada untuk berkongsi minat membaca dengan seluruh warga kota ini.

Beliau mengakui, golongan yang sentiasa mengejar peluang akan dilimpahi kejayaan dalam hidup seperti pepatah Melayu, “Rahsia kejayaan hidup bermula dengan manusia yang sentiasa menyambut kesempatan yang menjelma”.

Sehubungan itu, seawal usia 19 tahun lagi, beliau dengan penuh keyakinan bermula secara kecil-kecilan dengan mengadakan program Buku Jalanan di sekitar Tebingan Kuching.

“Bermula 1 Mei 2012, saya dan beberapa rakan yang lain ingin mencuba nasib dengan mengadakan perpustakaan tepi jalan yang kami namakan sebagai Buku Jalanan.

“Pada mulanya, ia kurang mendapat sambutan, tetapi lama kelamaan Buku Jalanan semakin diterima masyarakat malah tidak kurang juga ada golongan yang prihatin turut sama mendermakan koleksi buku mereka untuk dipamer serta dibaca oleh masyarakat yang lalu lalang di Tebingan Kuching,” katanya kepada Utusan Borneo.

Mengakui bahawa minat membaca harus disemai bermula dari peringkat bawah umur lagi, Farris berkata, penubuhan Buku Jalanan diharap dapat menepis persepsi kurang menarik yang sering dilemparkan terutama oleh golongan yang kurang minat untuk membaca.

Selain itu, ia juga disifatkan sebagai usaha untuk menarik masyarakat tanpa mengira usia untuk mengambil kesempatan bagi meluangkan sedikit masa terluang bersama keluarga untuk membaca di Buku Jalanan, katanya.

“Koleksi Buku Jalanan tidak hanya dihadkan kepada satu genre sahaja kerana kami mempunyai pelbagai koleksi bacaan seperti sastera, politik, akademik, komik, majalah, novel dan banyak lagi.

“Kami mahu masyarakat khususnya warga kota bersantai di persekitaran Tebingan Kuching sambil membaca,” tambah beliau yang juga merupakan pelajar lepasan Diploma Pengurusan Maklumat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kota Samarahan.

Buku Jalanan boleh dikunjungi di Tebingan Kuching setiap hari Sabtu (dua kali sebulan) bermula jam 4 petang hingga 6 petang.

Orang ramai yang berminat untuk menyumbang koleksi bahan bacaan kepada Buku Jalanan bolehlah menghubungi kru Buku Jalanan dengan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) menerusi laman Facebook iaitu Buku Jalanan Kuching atau ke alamat Twitter di BukuJalananKCH.

Advertisement