Anda di sini

YKN sumbang RM5,000 kepada lima beradik yatim piatu

Advertisement

SUNGKAI: Yayasan Kebajikan Negara semalam menyalurkan sumbangan RM5,000 kepada lima beradik yatim piatu  yang kehilangan ibu bapa mereka dalam kemalangan ngeri di Cheras, Kuala Lumpur pada Jumaat lepas.

Pengerusinya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata sumbangan itu adalah untuk menampung bantuan kolektif sebanyak RM450 sebulan daripada Jabatan  Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi meringankan beban kewangan lima beradik itu.

“Kita harap duit ini akan digunakan sebagai tabung permulaan untuk lima beradik ini. Sumbangan ini juga bagi membantu perbelanjaan sekolah serta makan minum mereka,” katanya selepas menyampaikan sumbangan itu kepada Zainah Mohd,ibu saudara lima beradik itu di Kampung Rahmat, Changkat Sulaiman di sini semalam.

Dalam kejadian pada jam 7.30 pagi itu, juruteknik Jefri Mohd Zain, 50, dan isterinya Noorsalawati Ibrahim, 40, terbunuh ketika dalam perjalanan ke tempat kerja menaiki motosikal setelah digilis sebuah lori dalam kejadian langgar lari berhampiran susur ke Cheras, di Jalan Loke Yew.

Pasangan itu meninggalkan lima anak – Muhd Haikal, 16, Fatin Adlina, 14, Mohd Aidil, 10, Norsyamini, 4, dan Nor Auni Safia, 3.

Shahrizat yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO berkata pergerakan itu sentiasa bersedia untuk membantu lima beradik itu dari segi persekolahan mereka sekiranya  perlu.

Dalam pertemuan itu, Shahrizat turut menaruh harapan kepada Zainah supaya menjaga lima beradik itu sebaik mungkin.

Zainah, 44, seorang suri rumah, melahirkan rasa penghargaan dan terima kasih atas sumbangan yang disalurkan oleh yayasan itu.

Katanya dia dan empat beradik yang lain akan menjaga lima orang anak saudaranya itu dengan sebaik mungkin supaya mereka dapat membesar bersama-sama. — Bernama

Advertisement