Anda di sini

Usah kutuk, persenda kerajaan apabila berbeza pandangan

Advertisement

Berbahaslah dengan cara yang demokratik dan matang

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar semalam menggesa setiap rakyat Malaysia agar tidak mempersenda atau mengutuk negara ini apabila berada di luar negara, meskipun mereka mempunyai pendapat dan pandangan yang berbeza.

“Kita mungkin mempunyai perbezaan atau isu berbeza, namun kita boleh membahaskannya dengan cara yang demokratik dan matang tetapi jangan mempersenda  atau mencemuh negara ini.

“Semua pemimpin lain, mereka mungkin mempunyai pandangan berbeza, tetapi apabila mereka keluar (luar negara), mereka tidak pernah mengutuk negara mereka,” katanya selepas menyampaikan ucaptama dalam siri Wacana Perdana di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, semalam.

Abdul Wahid berkata walaupun kebebasan rakyat bersuara adalah sesuatu yang sangat penting, namun ia mesti dilakukan dengan cara yang matang dan bertamadun.

Beliau berkata berarak di jalanan bukan cara yang betul untuk melakukannya kerana ia akan mengganggu lalu lintas termasuk menjejaskan pendapatan perniagaan rakyat.

“Jika anda mahu pandangan anda didengari, apa yang lebih baik ialah dengan melakukannya dalam persekitaran terkawal seperti di stadium atau di tempat terdapatnya kemudahan seperti tandas, surau dan sistem PA, supaya pandangan atau ucapan anda boleh didengari rakyat dan media,” katanya.

Abdul Wahid berkata mana-mana kerajaan yang digulingkan melalui demonstrasi akan menjadi tidak mampan kerana ia akan menggunakan taktik yang sama untuk mendapat-kan semula kuasa.

“Kami telah melihat senario ini di banyak negara di seluruh dunia,” katanya.

Siri wacana bertemakan ‘How Can Malaysian Youth Best Prepare for the Future” itu merupakan kerjasama antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Yayasan Kepimpinan Perdana, bertujuan untuk memulakan perbincangan dalam kalangan cendekiawan, rakyat yang mengambil berat dan pemimpin masa depan. — Bernama

Advertisement