Anda di sini

Sarawak gagal pertahan dua emas

Advertisement

PERLIS: Sarawak gagal mempertahankan dua pingat emas dalam acara berbasikal bukit setelah dua pelumba mereka sekadar meraih gangsa pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA XVII) di sini semalam.

Pada perlumbaan yang berlangsung di Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra UNIMAP Pauh, pelumba Sarawak Garry Tay Yuan Swee mencatat masa terpantas 01:25:22s dalam perlumbaan merentas desa sejauh 36km.

Emas dirangkul pelumba Terengganu, Mohd Zulhafiz Saipuddin dengan catatan masa 01:20:11s sementara perak milik atlet dari Sabah Alvin Leong Vui Chung dengan 01:23:41s.

Sarawak turut meraih gangsa dalam acara wanita sejauh 24km menerusi Noor Fadilah Saedin dengan catatan masa 01:14:31s.

Beliau tewas di tangan dua pelumba Kedah, Siti Fatimah Ismail dan Siti Nur Adibah Akma Mohd Fuad yang meraih emas dan perak dan catatan masa 01:12:26s dan 01:12:56s.

Pemenang pingat emas SUKMA XV di Pahang, Rosnina Minggu sekadar menduduki tempat kelima kerana mengalami masalah tayar pecah.

“Agak malang bagi kita kerana pelumba yang menjadi sasaran, Rosnina Minggu mengalami masalah tayar pecah ketika jauh mendahului jauh pelumbapelumba lain.

“Saya pasti jika tayar basikalnya tidak pecah, beliau pasti berjaya mempertahankan emas yang dimenangi dua tahun lepas,” kata Ketua Jurulatihnya, Dzulkaflee Hassan.

Bagaimanapun , Dzulkaflee tetap gembira kerana dua pelumbanya berjaya menghadiahkan gangsa untuk kontinjen Sarawak.

“Masih ada banyak lagi acara untuk disertai dan ia tetap menjanjikan peluang bagi kita menambah pungutan pingat,” katanya.

Mereka akan menyertai acara ujian masa berpasukan lelaki dan wanita esok.

Advertisement