Anda di sini

Rasai pengalaman bermalam dalam suasana kampung di Karum Homestay

Advertisement

Oleh Agnes Tugong //

TRADISIONAL: Karum Homestay menyediakan dapur kayu untuk memberi pengalaman memasak cara dahulu kala.

PROGRAM homestay atau ‘lan berambeh’ semakin popular dan tumbuh bagai cendawan di kalangan masyarakat tempatan masa kini.

Konsepnya yang ringkas namun penuh keunikan dengan keaslian budaya tradisional menjadikan program ini semakin digemari untuk diusahakan secara sepenuh masa.

Di Kampung Annah Rais yang terletak di Padawan sahaja sudah terdapat 12 orang pengusaha homestay sejak diperkenalkan pada 2006 oleh Pejabat Kementerian Pelancongan.

Salah seorang daripada pengusaha homestay di perkampungan terkenal Bidayuh ini ialah suri rumah sepenuh masa, Karum Jugag yang kini berusia 49 tahun.

SELESA: Karum menunjukkan bilik utama di Karum Homestay yang menghadap pemandangan hutan lengkap dengan bilik air.

Minat untuk menceburi bidang homestay ini muncul selepas beliau menyertai taklimat mengenai Program Homestay yang dikelolakan oleh Pejabat Kementerian Pelancongan di kampungnya.

Bermula dari taklimat tersebut, Karum tidak teragak-agak untuk menceburi bidang ini dan menjadikan rumah pusaka tinggalan neneknya sebagai Karum Homestay.

“Sebelum membuka homestay sendiri saya puas bekerja di bandar raya Kuching dan sekembalinya saya ke kampung saya tertarik dengan taklimat yang disampaikan oleh pihak kementerian mengenai potensi homestay.

“Tanpa teragak-agak saya membuat keputusan untuk membuka homestay dan menjadikan rumah tinggalan nenek saya yang tiada berpenghuni sebagai pusat homestay saya,” katanya.

KEMUDAHAN: Ruang menonton di Karum Homestay dilengkapi dengan Astro dan set karaoke.

Karum yang ditemui di homestay miliknya baru-baru ini menambah, pada awal pembabitannya dalam bidang ini memang banyak cabaran yang dilalui.

Cabaran utama adalah kekangan dari segi modal di mana beliau memerlukan perbelanjaan yang agak besar untuk membina semula bilik usang tinggalan neneknya yang terletak di Rumah Panjang Kampung Annah Rais itu.

Namun alah bisa tegar biasa, selepas melalui pelbagai cabaran dan rintangan Karum Homestay yang diusahakannya kini sudah mampu berdiri teguh.

Meskipun hasil pendapatan yang diperolehi daripada homestay ini tidaklah sebanyak mana namun Karum mengakui ia banyak membantu memperbaiki kehidupan mereka sekeluarga.

Oleh kerana suaminya bekerja di Sabah manakala dua anaknya masih di bangku sekolah maka segala selok-belok perusahaan homestaynya adalah di atas bahu beliau.

SELAMAT DATANG: Karum menghidangkan tuak sebagai tanda menyambut kedatangan pengunjung ke Karum Homestay.

Tidak hanya menawarkan pakej penginapan lengkap dengan sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam, Karum Homestay turut menawarkan pakej riadah ke air terjun, kolam air panas, rentas hutan serta melawat kebun lada.

Kemudahan penginapan di Karum Homestay ditawarkan pada kadar RM99 seorang bagi bilik biasa dan RM220 sebilik bagi bilik utama lengkap dengan bilik air dan menghadap ke hutan.

Pengunjung yang menginap di Karum Homestay juga disediakan dengan kemudahan ruang menonton yang dilengkapi dengan Astro, dapur tempat memasak, bilik air dan bilik mandi berasingan serta mesin basuh.

Berminat untuk merasai pengalaman bermalam di homestay dalam suasana perkampungan Karum Homestay sedia menerima tetamu pada bila-bila masa dan tempahan boleh dibuat menerusi pemiliknya di talian 016-8981675.

Advertisement