Anda di sini

Program Atlet Sihat di SMK Demak Baru pada 20-22 Jun

Advertisement

KUCHING: Olimpik Khas Sarawak Kuching akan menganjurkan Program Atlet Sihat (HAP) 2014 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Demak Baru, Jalan Diplomatik, Petra Jaya dari 20 hingga 22 Jun depan.

Presiden Olimpik Khas Sarawak yang juga Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, seramai 180 atlet dari pelbagai sekolah pendidikan khas dan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dari Kuching dan Kota Samarahan dijangka mengambil bahagian pada program itu nanti.

Menurutnya, penganjuran program ini bakal memberi manfaat kepada atlet kerana mereka berpeluang menjalani pemeriksaan kesihatan yang dilaksanakan oleh sukarelawan dari Jabatan Kesihatan Negeri (JKNS) dan Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Olimpik Khas Sarawak merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang komited terhadap atlet kurang upaya intelek yang mana mereka perlu menjalani latihan dan bertanding dalam pelbagai sukan dan permainan seperti bola sepak, olahraga, boling, renang, tenis, golf dan banyak lagi.

“Justeru, HAP dapat memberikan atlet khas kita peluang menjalani pemeriksaan kesihatan profesional secara percuma bagi memastikan mereka memiliki fizikal yang sihat untuk latihan seterusnya bertanding dalam sukan dan permainan yang mereka gemari,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada sidang media HAP di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Fatimah menjelaskan, program tiga hari itu turut melibatkan penyertaaan 117 sukarelawan dalam bidang kesihatan profesional seperti doktor, jururawat, pembantu perubatan, pelajar serta guru-guru pendidikan khas.

Selain itu juga, jelasnya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPNS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKMS) turut menyokong program itu.

“Pada tahun lepas kita telah mengadakan program sama pada tahun 2010 di Miri.

“Program akan datang ini dijangka merupakan acara terbesar setakat ini oleh kita kerana melibatkan atlet yang merupakan pelajar pendidikan khas di sekolah serta daripada pelbagai PPDK di sekitar Kuching dan Kota Samarahan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Fatimah memberitahu HAP diharap dapat meningkatkan kehidupan golongan sasarnya serta sebagai langkah holistik dalam memastikan atlet khas ini sentiasa disokong dan diberi perhatian.

“Kajian lalu menunjukkan orang kurang upaya intelek menghadapi 40 peratus risiko lebih besar dalam isu kesihatan daripada orang normal.

“Bukan itu sahaja, kajian menunjukkan kurang daripada 10 peratus mereka ini mengambil bahagian dalam sukan dan permainan yang mana jumlah ini sangat sedikit,” terangnya.

Tambahnya, orang kurang upaya intelek juga berisiko menghidap obesiti serta terdedah kepada diabetes dan penyakit jantung yang menyumbang kepada kematian awal.

“Oleh itu, sepanjang program ini nanti kita menyediakan klinik kepada mereka dalam pelbagai bidang seperti podiatri, optometri, audiologi dan dentistry (pergigian) yang dilakukan dalam persekitaran tidak formal.

“Kita juga sedar adalah perkara biasa bagi orang kurang upaya intelek memerlukan perubatan yang kompleks serta mempunyai kesukaran berkomunikasi. Oleh sebab itu, program ini penting bagi merawat dan mengenal pasti masalah kesihatan yang mereka hidapi,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Olimpik Khas Kuching Datin Dayang Mariani Abang Zain yang turut hadir pada sidang media itu mengucapkan terima kasih kepada penaja serta sukarelawan yang memberikan sokongan dalam menjayakan program ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Fatimah dan tHe Spring atas sumbang masing-masing berjumlah RM5,000 dan RM3,000 kepada HAP.

“Kita amat memerlukan sokongan orang ramai untuk kita menjayakan program ini.

“Justeru, orang ramai yang ingin menyumbang kepada kita bolehlah menghubungi Setiausaha kita iaitu Regina menerusi talian 019-858765,” ujarnya.

Tambahnya, hadir menyempurnakan majlis perasmian HAP nanti ialah Fatimah yang mana ia akan berlangsung pada jam 2 petang 20 Jun.

Advertisement