Anda di sini

Polis tahan empat suspek curi lori

Advertisement

Oleh Kepu Sidi //

Kegiatan berjaya dipatah dalam tempoh kurang 40 minit aduan dibuat

TUMPAS: Empat suspek dibawa ke Balai Polis Sarikei untuk siasatan lanjut.

SARIKEI: Hasrat sekumpulan lelaki melarikan sebuah lori jenis Nissan tidak kesampaian apabila usaha mereka berjaya dikesan dan dipatahkan polis dalam tempoh masa kurang 40 minit selepas laporan kehilangan lori berkenaan dibuat pengadunya.

Berikutan itu, empat lelaki berjaya ditahan masing-masing berusia dalam lingkungan 20-an hingga 40-an di dua lokasi berasingan.

Dua lelaki berjaya ditangkap di kawasan Julau, manakala dua lagi ditahan di Bintangor.

Dalam kejadian itu, seorang pemandu lori berusia 34 tahun membuat laporan polis pada pagi Ahad lalu, berikutan lori yang diletakkannya di Jalan Kiong Soon Sarikei hilang.

Setelah menerima laporan tersebut, polis bertindak melancarkan gerakan mengesan dan mencari lori terbabit.

Pada jam 5.30 pagi, sepasukan polis meronda di kawasan Batu 18, Jalan KJD Julau dan menjumpai sebuah lori bernombor pendaftaran sama seperti yang dilaporkan hilang dan diletakkan di tepi jalan.

“Ketika pemeriksaan ke atas lori berkenaan, polis terserempak dengan dua suspek berusia lingkungan 20-an cuba melarikan diri setelah menyedari polis dapat menghidu kegiatan mereka,” kata sumber.

Namun, usaha mereka berjaya dikesan polis dan mereka berdua berjaya ditahan.

Hasil siasatan, polis mendapati dua orang lagi suspek disyaki terlibat sama dalam kegiatan terbabit masih bebas.

Daripada maklumat diperolehi, polis melancarkan gerakan mencari dan mengesan suspek dan sekitar jam 8.10 pagi, polis Bintangor berjaya mengesan dua suspek sedang memandu sebuah kereta jenis Perodua Viva berwarna putih di Batu 1, Jalan Kelupu, Bintangor.

Polis menahan kedua-dua suspek terbabit dan dibawa ke Balai Polis Bintangor untuk siasatan.

Keempat-empatnya kemudian dibawa ke Balai Polis Sarikei petang kelmarin.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 379 A, Kanun Keseksaan dan keempat-empat suspek kini ditahan reman selama tiga hari bermula semalam.

Advertisement