Anda di sini

Perubahan untuk mantap sistem, kualiti pendidikan

Advertisement

MIRI: Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenal pelbagai perubahan bagi memantapkan sistem dan kualiti pendidikan negara kerana menyedari peranan pendidikan yang semakin penting hari ini.

Pengarah Pendidikan Sarawak, Datu Abdillah Adam berkata dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 hingga 2025 menggariskan 11 anjakan untuk mencapai enam aspirasi murid-murid dan lima aspirasi sistem dalam tiga gelombang masa.

“Tahun ini, kita sedang hangat dalam pertengahan Gelombang Pertama PPPM (2013 hingga 2015),” katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2013 Pejabat Pendidikan Daerah Miri, di sini petang semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Pengarah Pendidikan Sarawak, Abdul Rahman Bolhassan yang mewakili beliau.

Hadir sama Pegawai Pendidikan Daerah Miri, Rosnani Yunus dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Miri, Alias Ngah.

Sebanyak 14 lagi inisiatif di bawah PPPM dipersetujui sebagai inisiatif utama KPM dan pada 2014 sebanyak lima inisiatif diturunkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seperti Enrolmen Prasekolah, Standard Garis Asas Infrastruktur, LINUS 2.0, TIMSS/PISA dan Program Transformasi Daerah.

“PPD Miri menerima penempatan dua orang School Improvement Partner Plus (SIPartners+) dan enam orang School Improvement Specialist Coaches Plus (SICS+) bagi membimbing pemimpin sekolah dan guru dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik meliputi sekolah rendah dan menengah,” katanya.

Abdillah menekankan pendidikan kini menjadi penyumbang utama pembangunan modal sosial dan ekonomi negara serta merupakan pencetus kreativiti dan penjana inovasi yang melengkapkan generasi muda dengan kemahiran diperlukan untuk bersaing dalam pasaran kerja dan menjadi pengupaya ekonomi.

Manakala guru-guru sebagai penjawat awam perlu menyahut, mendokong dan menjadi ejen perubahan berupaya menggerakkan agenda transformasi pendidikan negara ke tahap lebih tinggi.

“Justeru, semua warga pendidikan di PPD Miri hendaklah tahu, faham dan melaksanakan peranan masing-masing secara berkesan dan saling bekerjasama menzahirkan usaha dan tindakan berterusan mencapai visi dan misi kementerian.

“Kita dituntut sentiasa mendokong dan mengamalkan budaya kerja berprestasi tinggi, memasukkan elemen kreativiti dan inovasi dalam menyampaikan perkhidmatan berkualiti dan bertaraf dunia,” jelas beliau.

Abdillah berkata, dari segi ekuiti pendidikan kementerian berhasrat menyediakan pendidikan terbaik kepada setiap murid dan merapatkan jurang pencapaian tanpa mengira kedudukan geografi, latar belakang, sosioekonomi dan gender.

“Justeru, warga pendidik sama ada berkhidmat di PPD, sekolah menengah mahupun sekolah rendah dituntut terus berjuang menjulang Sarawak dalam arena pendidikan.

“Guru-guru berkhidmat di bandar, luar bandar mahupun di pedalaman hendaklah gigih dan berintegriti melaksanakan amanah mendidik pelajar di sekolah masing-masing dan menentukan hala tuju serta kecemerlangan sesebuah sekolah dan pelajar,” katanya.

Advertisement