Anda di sini

PDRM bongkar makmal proses ketamin yang pertama kali dalam negara

Advertisement

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia buat pertama kalinya membongkar kegiatan memproses dadah jenis ketamin yang didalangi dua lelaki tempatan dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Taman Sri Hartamas, di sini Jumaat lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata selain penahanan dua lelaki berumur 44 dan 51 tahun itu, polis turut merampas ketamin bernilai RM720,000 dan 200 biji pil ekstasi.

“Pada Jumaat lepas, jam 7.30 malam, kita (polis) menahan dua lelaki itu di dalam sebuah kereta jenis Myvi di Taman Mutiara, Cheras bersama tiga bungkusan plastik berisi dadah ketamin seberat 2,495 gram di bahagian but kereta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur di sini, semalam.

Noor Rashid berkata tangkapan itu membawa polis ke sebuah kondominium di Taman Sri Hartamas, sebelum sembilan bungkusan plastik berisi ketamin seberat 9.05kg, dua bekas plastik lutsinar berisi ketamin seberat 2.77 kg dan empat bungkusan besar plastik berisi serbuk putih disyaki ketamin seberat 3.26kg, ditemui.

Beliau berkata turut ditemui di dalam rumah itu, bahan-bahan kimia dan peralatan memproses dadah.

“Siasatan mendapati kedua-dua suspek menjalankan kegiatan itu sejak lapan bulan lepas dengan menjadikan kondominium yang disewa RM2,200 sebulan itu sebagai makmal.

“Mereka turut mengedarkannya ke sekitar Lembah Klang,” katanya sambil menambah salah seorang suspek pernah ditahan kerana memiliki senjata berbahaya.

Noor Rashid berkata kedua-dua lelaki yang berasal dari Sungai Petani, Kedah, direman selama tujuh hari sehingga Jumaat ini untuk disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandotari jika disabitkan kesalahan. — Bernama

Advertisement