Anda di sini

Manfaatkan teknologi komunikasi dalam pencarian pesawat hilang

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kemajuan dalam teknologi komunikasi harus dimanfaatkan supaya operasi pencarian pesawat yang hilang dapat dilakukan dengan lebih pantas dan mengurangkan kebergantungan kepada kotak hitam.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kepesatan teknologi komunikasi kini membolehkan telefon bimbit sama ada menerusi panggilan atau khidmat pesanan ringkas (SMS) mahupun jalur lebar digunakan dalam pesawat.

“Apabila sesebuah pesawat hilang, kita mencari kotak hitam kerana di situ ada data, namun apabila ditemui, kotak hitam ia hanya mempunyai perbualan dua jam terakhir di dalam kokpit.

Itu zaman perakam pita, iaitu teknologi tahun 60-an. Zaman sekarang teknologi membolehkan segala data telefon bimbit atau jalur lebar dihantar terus menggunakan satelit. Jadi mengapa perkara ini tidak dimanfaatkan dalam bidang penerbangan?,” katanya.

Ahmad Shabery berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada Dialog Pakar Berkaitan Pemantauan Masa Nyata Penerbangan, Termasuk Kotak Hitam di sini, semalam.

Turut hadir Pengarah Biro Standard Telekomunikasi Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) Malcolm Johnson, Pengarah Biro Navigasi Udara Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Nancy Graham, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Mohamed Sharil Mohamed Tarmizi dan Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman.

Justeru itu, Ahmad Shabery berharap dialog itu dapat mencari jalan supaya data daripada telefon bimbit dibangunkan menjadi teknologi mengesan  pesawat dalam sesuatu tragedi.

“Kita mungkin akan temui pelbagai kaedah bagaimana mahu memanfaatkan data komunikasi ini dan jika dipersetujui penggunaannya oleh negara-negara lain, Malaysia akan menjadi penyumbang dan membuka lebaran baharu sejarah penerbangan berkaitan pencarian pesawat,” katanya.

Ahmad Shabery menambah kemajuan telekomunikasi data itu juga diharapkan dapat mengelakkan kejadian peristiwa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang pada 8 Mac lepas semasa dalam perjalanan ke Beijing, China daripada berulang.

“Sehingga sekarang kita masih mencari pesawat itu, untuk memberi ketenangan kepada keluarga penumpang. Cukuplah kita (Malaysia) sahaja yang tahu bebannya dan jangan ada negara lain perlu menanggungnya di masa depan,” katanya.

Sementara itu dalam ucapannya Ahmad Shabery berkata usaha untuk melaksanakan pemantauan data masa nyata adalah kerja berpasukan, melibatkan semua pihak di dalam industri penerbangan.

Beliau berkata jika pemantauan secara masa nyata dilaksanakan, adalah penting beberapa isu seperti kos dan lebar jalur serta kerahsiaan dan privasi perlu diselesaikan.

“Walaupun terdapat kebimbangan berkaitan kerahsiaan dan memastikan kesesuaian penggunaan data yang dihantar daripada pesawat daripada pandangan pengguna atau penumpang, kebimbangan ini tidak boleh menandingi ketenangan fikian yang ditawarkan oleh pengesanan masa nyata,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada lebih 26 negara kerana komitmen mereka membantu Malaysia dalam pencarian pesawat MH370, yang masih hilang.

Lebih daripada 50 pakar perundangan, komunikasi dan penerbangan menyertai dialog tertutup selama dua hari yang bermula semalam. — Bernama

Advertisement