Anda di sini

Lelaki disyaki cuba curi elektrik diberkas

Advertisement

DICEKUP: Suspek ditahan untuk tindakan selanjutnya.

KUCHING: Seorang lelaki yang dipercayai cuba melakukan penyambungan haram bagi mencuri elektrik ditahan dalam serbuan yang dilancarkan pihak teknikal SESCo di Bandar Baru Permyjaya, Tudan, Miri baru-baru ini.

Suspek diberkas dengan bantuan polis bantuan dan pegawai dari Unit Inspektorat Elektrik di bawah Kementerian Kemudahan Awam dan polis.

Menurut jurucakap SESCo, bekalan elektrik di tempat kejadian telah ditamatkan beberapa kali sejak September 2007 kerana bil tertunggak berjumlah RM14,816.

Bagaimanapun, bekalan itu disambung semula secara haram oleh suspek selepas SESCo memutuskan semua pendawaian ke tempat kejadian.

Pada hari operasi dijalankan, pasukan SESCo telah memutuskan sambungan haram terus ke premis berkenaan serta meletakkan pasukan pengawasan untuk memerhati cubaan suspek.

Justeru, pada lewat petang hari kejadian, seorang lelaki muncul di hadapan meter dan cuba menyambung semula bekalan elektrik.

Menyaksikan kelibat suspek, pasukan pengawasan SESCo bergegas ke tempat kejadian dan suspek yang terkejut cuba melarikan diri.

Bagaimanapun, suspek berjaya ditangkap selepas aksi kejar-mengejar dengan polis hasil bantuan SESCo, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Bukti-bukti daripada pengubahsuaian yang telah dirampas oleh pasukan SESCO termasuk pemutar skru, kabel dan meter potong, sekali gus akan digunakan di mahkamah untuk pendakwaan.

Suspek kini dibebaskan dengan jaminan polis selepas disiasat atas dakwaan mencuri elektrik di bawah Ordinan Seksyen Elektrik 33 (5 ) yang membawa hukuman sehingga lima tahun penjara atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Advertisement