Anda di sini

Kesedaran guna topi keledar tepati piawaian masih rendah

Advertisement

KUALA TERENGGANU: Kesedaran penggunaan topi keledar yang menepati piawaian masih rendah dalam kalangan penunggang dan pembonceng motosikal, kata Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia Datuk Dr Tam Weng Wah.

Beliau berkata penggunaan topi keledar yang tidak menepati piawaian merupakan antara faktor penyumbang kematian dalam kalangan penunggang dan pembonceng motosikal yang terbabit kemalangan di negara ini.

“Sebenarnya, kesedaran penunggang dan pembonceng motosikal untuk memakai topi keledar sudah ada, tapi mereka pakai topi keledar yang tak menepati piawaian… mereka seharusnya menggunakan topi keledar yang diperakui oleh Sirim.

“Ramai yang masih pakai ‘half shell helmet’ dan mereka ini boleh disaman oleh pihak berkuasa, sebab bila pakai ‘half shell helmet’, ia tidak akan melindungi muka dan pipi kalau jatuh dan ini akan menyebabkan kepala pecah bila kemalangan,” katanya kepada pemberita selepas program Advokasi Khas di Jalan Batu Buruk di sini semalam.

Menurutnya, sebanyak 60 peratus kemalangan maut daripada 6,917 kes pada tahun 2012 dan 6,915 kes pada tahun 2013 adalah membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

“Penunggang dan pembonceng motosikal juga perlu menukar topi keledar setiap lima tahun sekali bergantung kepada penggunaan kerana ada kalanya topi keledar ini terjatuh dan menyebabkan materialnya tidak tahan lama…jadi untuk keselamatan, mereka perlu tukar baharu setiap lima tahun sekali,” kata Tam.

Beliau juga mengingatkan ibu bapa supaya memastikan anak-anak memakai topi keledar dengan cara yang betul selain memakai topi keledar yang mengikut piawaian.

“Kanak-kanak ni masih kecil dan tulang mereka lembut, kalau mereka pakai topi keledar dengan cara yang salah, kepala mereka mungkin akan pecah jika terjadi sesuatu kemalangan…untuk ibu bapa, tolonglah pastikan anak-anak mereka benar-benar selamat,” katanya.

Sempena program tersebut, sebanyak 50 buah topi keledar penunggang motosikal tidak menepati piawaian ditukar baharu secara percuma. — Bernama

Advertisement