Anda di sini

‘Ibu Pertiwiku’ bergema akhirnya

Advertisement

Oleh Harry Ilias //

Pemain skuasy, Sanjay Singh menghadiahkan pingat emas pertama buat kontinjen Sarawak

EMAS PERTAMA: Sanjay menunjukkan emas pertama dimenanginya bersama (dari dua kiri) Lee, Pengurus Pasukan Jewa
Singh, Penolong Ketua Kontinjen, Datuk Azman Samaon dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Negeri
Sarawak (PSNS) Dr Ong Kong Swee di Perlis semalam.

KANGAR, PERLIS: Lagu ‘Ibu Pertiwiku’ bergema buat julung kalinya di bumi Perlis Indera Kayangan apabila skuad skuasy Sarawak berjaya menggondol pingat emas pertama semalam.

Pemain perseorangan lelaki, Sanjay Singh Chal menamatkan penantian emas Sarawak pada hari ketiga temasya SUKMA XVII setelah menundukkan pemain Kelantan, Mohd Syafiq Mohd Kamal dengan 3-1 (11-4, 11-6, 10-12, 12-10) di Kompleks Skuasy (NSC) Kangar di sini.

Gangsa milik atlet Selangor, M u – hammad Addeen Idrakie Bahtiar yang menewaskan Muhammad Hannan Mohamad Tarmidi dari Negeri Sembilan juga dengan 3-1 (11-8, 11-5, 9- 11, 11-4).

“Saya berasa sangat gembira kerana berjaya menyumbang emas pertama buat kontinjen Sarawak hari ini (semalam),” kata Sanjay kepada media di sini semalam.

“Kejayaan ini sangat bermakna kerana merupakan SUKMA terakhir bagi saya,” katanya.

Sanjay yang juga pemenang pingat perak pada SUKMA 2012 di Pahang berkata, beliau menerima tentangan yang cukup sengit daripada Mohd Syafiq yang juga pemain remaja nombor satu negara ketika ini.

“Saya mengusai permainan pada dua set pertama dan langsung tidak memberi peluang kepada Syafiq.

“Bagaimanapun, pada set ketiga saya mula hilang fokus dan memberi peluang kepada lawan untuk mengusai permainan,” jelas atlet kebangsaan yang menduduki ranking keenam negara itu.

Prestasi tidak menentu Sanjay berterusan pada set keempat hingga menyaksikan beliau ketinggalan 10-6 pada satu ketika.

“Saya hampir mengaku kalah pada set keempat , namun berjaya bangkit untuk memenangi perlawanan tersebut.

“Saat itu, fokus saya agak terganggu namun semangat untuk menang tetap membara kerana saya yakin saya lebih baik daripada pemain lawan,” katanya.

Skuad skuasy Sarawak masih berpeluang menambah pungutan emas kedua apabila turun dalam saingan berpasukan lelaki petang ini.

Mereka merupakan juara bertahan dalam acara tersebut pada SUKMA XV di Pahang dua tahun lalu.

Sehubungan itu, Menteri Muda Sukan Datuk Lee Kim Shin merakamkan tahniah kepada Sanjay setelah menghadiahkan emas pertama dalam acara skuasy untuk kontinjen Sarawak semalam.

“Ini merupakan emas pertama kita setakat ini dan saya berharap akan membawa kepada lebih banyak pungutan pingat selepas ini,” jelasnya.

Bagaimanapun, Lee menjelaskan kontinjen Sarawak kali ini berdepan beberapa masalah yang sukar diramal hingga menjejaskan peluang mereka untuk meraih pingat emas.

“Atlet kita berdepan beberap masalah yang tidak dapat dielakkan seperti kecederaan dan kesakitan.

“Masalah seperti ini memang sukar untuk diduga dan perlu kita hadapi. Namun, saya tetap berharap kita berjaya mencapai sasaran yang telah ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Lee meminta agar pengurus- pengurus pasukan memantau kesihatan para atlet yang bertanding pada temasya SUKMA XVII di sini.

“Semua pengurus pasukan perlu memantau dan memastikan kesihatan para atlet terjaga. Ini penting kerana masalah kesihatan akan menjejaskan prestasi mereka dan peluang kita untuk memenangi pingat,” katanya semasa melawat Kompleks Skuasy (NSC) Kangar, di sini semalam.

Menurut Lee, pihaknya mendapat laporan terdapat segelintir atlet yang mengadu mengalami masalah tidur.

“Kita perlu mengambil tindakan dengan segera jika ada atlet-atlet mengadu masalah seperti itu. Contohnya, kita boleh memindahkan mereka ke tempat yang lebih selesa,” katanya.

Lee berkata, adalah penting memastikan semua atlet sentiasa berada dalam keadaan sihat dan selesa bertujuan mengua tka n fokus dan prestasi mereka sebelum bertanding.

Advertisement