Anda di sini

Dyana Sofya mengaku ibunya terlibat penubuhan PERKASA

TELUK INTAN: Calon DAP bagi Pilihan Raya Kecil Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud, akhirnya mengaku semalam yang ibunya, Yammy Samat pernah terlibat dalam Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA).

Dyana Sofya yang sebelum ini menafikan cakap-cakap mengenai perkara itu, turut mengaku pernah membantu ibunya mengendalikan sesi pendaftaran keanggotaan PERKASA pada tahun 2008.

“Saya tidak tahu sama ada ibu saya anggota PERKASA ketika itu dan saya pula masih belajar,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Beliau berkata pada masa itu, ibunya meminta beliau membantunya mengendali-kan pendaftaran keanggotaan PERKASA.

“Ya, ketika itu beliau terlibat dengan PERKASA tetapi selepas beberapa bulan beliau meninggalkan pertubuhan itu kerana tidak lagi percaya dengan PERKASA,” jelasnya.

Dyana Sofya berkata demikian apabila diminta meng-ulas penyebaran gambarnya membantu Yammy pada majlis pelancaran laman web PERKASA dan kempen ke-anggotaan pertubuhan itu pada tahun 2008.

Menyentuh kedudukan ibunya sebagai anggota jawatankuasa pertubuhan itu, beliau berkata status ibunya itu hanya sebagai jawatankuasa penaja memandangkan ibu-nya meninggalkan pertubuhan itu sebelum mesyuarat agung pertamanya.

“Saya tidak pasti sama ada beliau merupakan anggota berdaftar PERKASA sebelum AGM itu…ibu saya seorang anggota UMNO, saya bukan. Beliau mungkin terlibat dengan PERKASA, saya tidak. Mungkin ini tidak harus jadi isu,” katanya.

Sebelum ini, beberapa portal media melaporkan bahawa Dyana Sofya menafikan yang ibunya pernah menyertai PERKASA, malah mendakwa ibu-nya tidak menyertai mesyuarat pertama pertubuhan itu.

Sementara itu akhbar semalam melaporkan bahawa Ketua Wanita UMNO Gopeng Datuk Hamidah Osman mendedahkan Yammy adalah antara pemimpin penaja terawal penubuhan PERKASA apabila dilantik sebagai Ketua Wiranitanya yang pertama.

Hamidah berkata maklumat itu diperoleh daripada Setiausaha PERKASA, Syed Hassan Syed Ali yang mengatakan Yammy berada dalam barisan kepemimpinan pertubuhan itu sehingga mesyuarat agung tahunan (AGM) pertamanya pada Mac 2010 sebelum meletakkan jawatan.

Hamidah mendakwa se-hingga kini juga tiada rekod yang menunjukkan Yammy telah menarik diri daripada menjadi anggota PERKASA. — Bernama