Anda di sini

Calon BN janji transformasi ekonomi kawasan Teluk Intan

Advertisement

TELUK INTAN: Teluk Intan akan dijadikan pusat pertanian moden di daerah Hilir Perak, antara janji calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong dalam mentransformasi ekonomi kawasan Parlimen itu.

Mah berkata kedudukan strategik kawasan itu, yang terletak di tengah-tengah kawasan Pasir Salak, Bagan Datoh, Tapah dan Tanjong Malim, memberikan Teluk Intan kelebihan semula jadi yang dapat dimanfaatkan untuk pertanian moden.

Beliau turut berjanji untuk terus memajukan kawasan Teluk Intan menjadi sebuah pusat ekonomi di Hilir Perak, memandangkan ia mempunyai potensi besar untuk dibangunkan, selain berusaha menarik lebih ba-nyak pelaburan, khasnya dalam bidang perkilangan dan pembuatan.

Mah dicabar calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud dalam PRK 31 Mei ini.

Usaha ini secara tidak lang-sung mampu mewujudkan lebih banyak peluang pekerja-an untuk penduduk tempatan, terutama generasi muda, katanya dalam manifesto yang dilancarkan di sini untuk PRK Teluk Intan.

Mah berkata sepanjang enam tahun lepas apabila kerusi Parlimen Teluk Intan dipegang anggota DAP, Teluk Intan telah ketinggalan dalam arus pembangunan, apabila infrastruktur asas seperti jalan raya dan kebersihan telah diabaikan akibat tiada kerjasama antara pihak berkuasa tempatan dan Ahli  Parlimen Teluk Intan.

“Jika saya dipilih, saya bertekad untuk menyambung segala rancangan saya membangunkan Teluk Intan yang terpaksa diketepikan selepas saya tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008,” kata Mah, yang merupakan Ahli Parlimen Teluk Intan selama dua penggal – PRU 1999 hingga PRU 2008.

Dari segi pembangunan komuniti, Mah berjanji untuk mewujudkan program rumah mampu milik di bawah Program Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) serta bekalan air, pengaliran dan saluran yang lebih mantap.

Dari segi pendidikan, calon BN itu berjanji untuk memastikan sebuah universiti dapat diwujudkan di Teluk Intan, selain memperluas pembinaan pusat komuniti di setiap kampung dan taman.

Sebelum ini, BN telah mewujudkan Teluk Intan Community College.

“Saya juga akan berusaha untuk membina lebih banyak zon Internet WiFi di Teluk Intan terutama untuk generasi muda yang mahir teknologi,” katanya. — Bernama

Advertisement