Anda di sini

80 peserta menyahut cabaran berakit

Oleh Henrietta Liza //

RASMI: Manyin merasmikan pameran agensi dan sukaneka Cabaran Berakit Batang Sadong/Sungai Kayan 2014.

MAJLIS Daerah Serian (MDS) dengan kerjasama Divisional Tourism Task Group (DTTG) telah menganjurkan Cabaran Berakit/Bilanting Batang Sadong/Sungai Kayan 2014 pada 10 Mei lepas.

Ini merupakan penganjuran kali keempat sejak 2011 bagi sukan lasak yang memerlukan kombinasi kemahiran pertukangan dan stamina para peserta.

Seramai 80 peserta telah menyertai cabaran tersebut yang dimulakan di Kampung Tema Mawang dan berakhir di Kampung Tebakang dalam empat kategori iaitu Lelaki Terbuka (36 pasukan), Wanita Terbuka (11 pasukan), Jabatan dan Agensi Kerajaan (26 pasukan) dan kategori Pelancongan (7 pasukan).

Johan bagi setiap kategori membawa pulang RM1,500 berserta piala dan sijil penyertaan, tempat kedua RM1,200 berserta piala dan sijil penyertaan dan tempat ketiga RM900 berserta piala dan sijil penyertaan.

CABARAN BERMULA: Sekumpulan peserta berakit dari Padawan.

Pemenang kategori Jabatan dan Agensi Kerajaan, johan adalah pasukan Putera Peladang, naib johan pasukan Ironside dan tempat ketiga pasukan Empurau.

Kategori Hotel dan Pelancongan, johan jatuh kepada BHR 4 Sekawan, tempat kedua Ranchan Chalet B dan tempat ketiga BHR Ngeruh Ai.

Manakala kategori Lelaki Terbuka, johan diraih oleh Kelab Sukan Komuniti BR, tempat kedua pasukan MAS dan tempat ketiga Kelab Rekreasi Lingga.

Sementara itu bagi kategori Wanita Terbuka, johan menjadi milik Kelab Lingga Wanita Wanita B, tempat kedua Kelab Rekreasi Lingga dan tempat ketiga Team Bunga Meja B’Tema.

Pelepasan peserta telah dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup Martin Ben, manakala pameran agensi dan sukaneka telah dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan yang juga ADUN Tebedu Dato Sri Michael Manyin Jawong.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem pula merasmikan Majlis Penutupan Cabaran Berakit/Bilanting Batang Sadong/Sungai Kayan 2014.

Setiausaha Politik Perdana Menteri Mejar (B) Peter Runin, Timbalan Pengerusi MDS, Ahli Majlis Dr Simon Sindang Bada dan Pemangku Setiausaha MDS Muzaimah Sumar turut hadir pada acara berkenaan.

SELAMAT DATANG: Richard diiring oleh penari tempatan Kampung Tebakang sewaktu ketibaan beliau merasmikan majlis Penutupan Cabaran Berakit/Bilanting Batang Sadong/Sungai Kayan 2014 10 Mei lepas.

MDS sebelum ini telah mendapat peruntukan bagi menjayakan majlis daripada Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti berjumlah RM40,000, Kementerian Pelancongan dan Warisan Sarawak (RM5,000) dan Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Negeri Sarawak (RM3,850).

Sementara itu, sukan lasak jelas mampu mewujudkan suasana harmoni dan gaya hidup sihat serta kerjasama dalam kalangan para belia.

Selain itu kata, Richard dalam kenyataanya, aktiviti tersebut bertujuan untuk mempromosikan Serian dan bahagian Samarahan sebagai destinasi pilihan menarik pelancong dalam dan luar negeri.

Sukan berakit juga adalah bagi menggalakkan penyertaan aktif masyarakat di daerah Serian dan bahagian Samarahan tanpa mengira jantina dan umur.

Acara tersebut telah dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan sebagai acara tahunan sejajar dengan peranan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti untuk memberi peluang kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memainkan peranan aktif, jelansya.

Acara sampingan lain yang turut diadakan pada cabaran tersebut ialah berkanu, sukaneka, pameran dan jualan, pertandingan karaoke serta taklimat pemulihan dan pemeliharaan sungai oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).