Anda di sini

Wanita pamer kehebatan bantu pembangunan negara: Muhyiddin

Advertisement

Tunjuk semangat kental, bersatu padu wujudkan suasana harmoni

TELUK INTAN: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata golongan wanita di negara ini telah mempamerkan kehebatan kerana mampu memainkan peranan utama membantu pembangunan negara dan rakyat.

“Wanita di negara ini telah menunjukkan kehebatan, semangat kental serta bersatu padu yang sekali gus mewujudkan suasana harmoni dan perpaduan di kalangan masyarakat,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian ketika menyampaikan ucapan ringkas pada program ‘Purple Walk’ peringkat negeri Perak sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa di  Dataran Menara Condong di sini semalam.

Merujuk kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, beliau berkata  golongan wanita juga berperanan untuk menentukan kemenangan Barisan Nasional (BN) dan calonnya Datuk Mah Siew Keong.

“Pada PRK Parlimen Teluk Intan dengan hari pengundian pada 31 Mei ini, wanita juga akan membantu kerajaan dengan memastikan kejayaan BN,” katanya.

Pada majlis itu sebanyak 200 kanak-kanak daripada 16 buah rumah asuhan di seluruh Perak menyampaikan kad ucapan kepada Muhyiddin yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-67 baru-baru ini.

Sejurus penyerahan kad ucapan itu, kesemua peserta ‘Purple Walk’ secara bersama-sama menyanyikan lagu ‘Happy Birthday’ kepada Muhyiddin sebelum beliau melepaskan kira-kira 500 peserta program itu, yang akan berjalan kaki sejauh satu kilometer menuju ke Padang Bandaran di sini.

Beliau yang diiringi Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir kemudiannya  bersarapan di sebuah kedai makan, dipanggil ‘kedai makan Pak Ya’ oleh penduduk setempat, yang terletak berhampiran Menara Condong Teluk Intan.

Mah yang sedang berkempen di kawasan sekitar itu kemudian bertemu Muhyiddin dan Zambry untuk berbual-bual serta bertanya khabar.

Pemilik kedai, Mohd Ali Rashidi, 60, yang mengambil alih perniagaan itu daripada bapa mentuanya Allahyarham Zakaria Abdul Hamid (Pak Ya), melahirkan rasa gembira dan terharu dengan kehadiran Muhyiddin ke kedainya.

“Saya dah diberitahu sebelum ini timbalan perdana menteri akan bersarapan di sini, gembira memang gembira, tapi saya hari ini agak kelam-kabut sedikit,”

katanya yang mengambil alih perniagaan itu sejak lima tahun lepas.

Muhyiddin memesan teh tarik dan nasi lemak bungkus yang menjadi menu istimewa ‘kedai makan Pak Ya’, katanya.

Ali yang merupakan pesara syarikat Telekom Malaysia tidak menafikan kedainya menerima lebih ramai pelanggan sejak bermula kempen PRK Parlimen Teluk Intan, 19 Mei lepas.

“Kedai makan Pak Ya ini dah lama beroperasi di sekitar Teluk Intan, sejak zaman Jepun lagi dah wujud, kedai ini popular sampai sekarang dan mungkin disebabkan nama ‘Pak Ya’ itu sendiri,” katanya. — Bernama

Advertisement