Anda di sini

Wanita negeri ini digesa lebih gigih perbaiki potensi diri

Advertisement

MIRI: Wanita di negeri ini digesa berusaha lebih gigih untuk memperbaiki potensi diri mereka seterusnya menyumbang tenaga dan buah fikiran demi kejayaan dan pembangunan negara.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata pembangunan ini meliputi semua aspek dalam politik, ekonomi, sosial, kebudayaan dan aspek-aspek lain khususnya dalam kesaksamaan.

“Pembangunan wanita memerlukan tindakan di peringkat tempatan, kebangsaan dan antarabangsa termasuk keluarga.

“Dalam hal ini, ia memerlukan perubahan sikap dan peranan kaum lelaki dan wanita.

“Hanya dengan ini kita dapat mencapai matlamat untuk mewujudkan kesaksamaan dan kemajuan untuk semua sebagaimana yang ditegaskan semasa sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2014 baru-baru ini,” katanya berucap sempena Hari Wanita Antarabangsa dan Program ‘Purple Walk’ Peringkat Negeri Sarawak 2014 di Padang Majlis Bandaraya Miri (MBM), semalam.

Fatimah menambah, wanita yang bilangannya merupakan separuh daripada jumlah penduduk di Malaysia, sewajarnya terus diperkasakan.

Katanya kerajaan mempunyai komitmen yang amat jelas dalam memastikan kesaksamaan gender dinikmati oleh wanita.

Mengenai Program ‘Purple Walk’ 2014, Fatimah berkata ia didedikasikan khusus untuk wanita Sarawak sebagai tanda simbolik dan pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan, pengorbanan dan pencapaian golongan wanita kepada keluarga, masyarakat dan negeri.

Katanya pengorbanan itu bersesuaian dengan tema sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2014 yang diperkenalkan oleh UN-Women iaitu ‘Kesaksamaan Wanita, Kemajuan Untuk Semua’.

“Saya berharap ia dapat menyuntik semangat agar wanita lebih bersedia berganding bahu dalam arus perdana bersama lelaki untuk terus memacu jentera pembangunan negara selain berperanan sebagai pengukuh ikatan kekeluargaan,” katanya.

Kira-kira 500 wanita dan lelaki mengambil bahagian dalam Program ‘Purple Walk’ berkenaan yang dimulakan dengan senaman ringan selama 30 minit.

Peserta kemudian berjalan sejauh dua kilometer bermula di padang MBM menghala ke Jalan Brighton dan kemudian pulang ke padang.

Turut serta Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus, Setiausaha Tetap Menteri Rodziah Morshidi, Residen Miri Anthonio Kahti Galis, Datuk Bandar Miri Lawrence Lai, Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Piasau Datuk Sebastian Ting dan Pegawai Daerah Boniface Intang Apat.

Kontinjen terbaik dimenangi Jabatan Insolvensi Malaysia Cawangan Miri diikuti Persatuan Keluarga Polis dan Amanita Miri di tangga kedua manakala tempat ketiga dimenangi kontinjen Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Miri.

Selain itu, 20 peserta membawa pulang hadiah cabutan bertuah.

Advertisement