Anda di sini

Tinggalkan SUPP mesti letak jawatan ADUN

Advertisement

Oleh Hamimi Kassim //

Blue Army desak ADUN yang telah meletak jawatan dalam parti berkenaan berhenti sebagai wakil rakyat

KUCHING: Generasi baharu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang menggelar diri mereka Blue Army, mendesak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang telah meletak jawatan dalam parti berkenaan berhenti sebagai wakil rakyat.

Ketuanya Milton Foo berkata, ini kerana ADUN tersebut telah memenangi pilihan raya menerusi tiket Barisan Nasional (BN)-SUPP.

“Orang mengundi bukan disebabkan kebolehan peribadi mereka, tetapi kekukuhan parti (SUPP) secara keseluruhannya.

“Tindakan mereka menyisihkan parti dan menyertai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS) adalah membelot.

“Ini jelas menunjukkan mereka tidak layak disokong menjadi wakil kepada rakyat yang mana mereka telah menang dalam pilihan raya di bawah kerusi BN-SUPP,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas pelancaran Blue Army dan Kempen Anti-TERAS Masuk BN di sini, malam kelmarin.

Justeru, Milton berharap ketua parti dan ahli SUPP kekal bersatu dan bersama-sama memastikan tindakan diambil terhadap mereka ini serta kekal dengan keputusan menentang kemasukan TERAS dalam BN.

“Kami tidak akan berdiam diri kerana misi kami adalah untuk menentang permohonan TERAS menyertai BN.

“Jika mereka perlu memohon untuk menyertai BN bermaksud pada masa ini mereka masih bukan BN.

“Untuk pengetahuan semua, parti kompenan BN adalah satu. Justeru, keputusan untuk menyertai BN perlu mendapat persetujuan semua parti komponen,” ujarnya.

Beliau menambah, Blue Army setakat ini mempunyai seramai 34 ahli terdiri daripada pemuda dan generasi baharu SUPP.

“Kami merupakan generasi baharu yang berkhidmat secara sukarela. Kami terbuka kepada semua, bukan untuk ahli SUPP sahaja.

“Biru mewakili semangat BN dan kami di sini akan tetap mengekalkan maruah SUPP dan semangat BN secara keseluruhannya,” katanya mengalu-alukan penyertaan semua.

Tambahnya, protes akan diadakan di Kuching, Sarikei, Sibu, Miri, Bintulu dan banyak lagi.

Advertisement