Anda di sini

Tindakan laga orang Islam, bukan Islam dikecam

Advertisement

Oleh Agnes Tugong //

DAP membidas tindakan Abdullah Zaik yang menyifatkan orang Cina sebagai penceroboh

KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Cawangan Sri Aman mengecam tindakan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Abdullah Zaik Abdul Rahman yang menghasut dan melaga-lagakan rakyat Malaysia terutama orang Islam dan bukan Islam.

Kecaman tersebut dibuat pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan cawangan itu di Sri Aman baru-baru ini.

Malah Pengerusi DAP Cawangan Sri Aman Leon Jimat Donald turut membidas tindakan presiden ISMA itu yang menyifatkan kemasukan pendatang Cina ke Tanah Melayu bersama British sebagai satu pencerobohan.

“Perkataan penceroboh itu jelas sekali digunakan untuk membangkitkan perasaan kebencian rakyat Malaysia terhadap kaum Cina seolah-olah kaum Cina adalah penjenayah yang boleh disamakan dengan penceroboh Sulu.

“Abdullah Zaik turut menyatakan bahawa kaum Cina bersekongkol dengan British untuk menindas dan membuli kaum Melayu yang jelas cuba meniup api perkauman rakyat Malaysia untuk membenci kaum Cina,” kata Leon.

Sementara itu Pembantu Khas Pengerusi DAP Negeri Mordi Bimol menganggap Abdullah Zaik mempersoalkan kerakyatan kaum Cina sebagai warganegara yang sah.

“Kenyataan ini jelas menunjukkan niat Abdullah Zaik untuk mempersoalkan perlembagaan Malaysia yang telah mengiktiraf kerakyatan semua kaum di Malaysia,” ujar Mordi.

Susulan perkara ini, Abdul Aziz Isa yang juga salah seorang pembantu khas pengerusi DAP Negeri akan membuat laporan polis bagi mewakili pihak DAP Sarawak.

Ini kerana menurut Aziz, kesemua kenyataan yang dikeluarkan oleh Abdullah Zaik sungguh beracun dan  boleh mendatangkan ketegangan kaum serta mengundang hal-hal berbahaya.

“Saya menggesa polis segera menyiasat Abdullah Zaik mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan, Seksyen 298, 298 (a) dan 504 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dan perkauman,” ujarnya.

Pada mesyuarat itu, Leon sekali lagi dilantik sebagai pengerusi DAP Cawangan Sri Aman untuk tempoh 2014-2015.

Ahli-ahli DAP Sri Aman turut membawa resolusi bahawa kerusi DUN N.27 Simanggang ditandingi DAP dan calonnya adalah pengerusi DAP Cawangan Sri Aman sendiri.

Advertisement