Anda di sini

Skuad hoki lelaki terus ‘dihanyutkan’

Advertisement

PERLIS: Prestasi buruk skuad hoki lelaki Sarawak seakan-akan tiada berpenghujungnya setelah sekali lagi dimalukan dengan kekalahan besar 8-1 di tangan Pulau Pinang pada perlawanan kedua Kumpulan B di Padang Hoki SMK Kuala Perlis semalam.

Ini kekalahan terbesar kedua anak-anak buah Sri Sakrunathan Subramaniam setelah kelmarin mereka juga tewas 8-1 di tangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Cuba untuk bangkit dari kekalahan kelmarin, Sarawak memperkemas corak permainan dengan mengatur beberapa serangan berbahaya ke kubu lawan sebaik separuh masa pertama bermula.

Bagaimanapun, ketumpulan jentera penyerang gagal menghadirkan sebarang peluang keemasan untuk mencipta jaringan.

Sebaliknya , gawang Sarawak dibolosi sebanyak tiga kali hingga berakhir separuh masa pertama.

Separuh masa kedua menyaksikan pertahanan Sarawak semakin rapuh dan mudah ditembusi sebanyak lima kali oleh pasukan lawan.

Manakala gol sagu hati Sarawak berjaya dijaringkan oleh Abranden Vylienden pada minit ke- 60.

Kekalahan kedua skuad lelaki berjaya diubat dengan kemenangan tipis 1-0 pasukan wanita ke atas Negeri Sembilan dalam saingan Kumpulan B petang semalam.

Gol dijaringkan oleh Vagressia Apang pada minit ke-11 bagi memastikan tiga penuh milik Sarawak.

“Ini satu perlawanan yang cukup sengit namun saya gembira kerana kita berjaya mengutip tiga mata penuh,” kata ketua jurulatihnya, Siva Subramaniam di sini semalam.

Bagaimanapun, beliau berharap kemenangan itu akan menaikkan semangat pemain-pemain untuk menghadapi perlawanan seterusnya kerana saingan masih jauh dan semakin sengit.

Sarawak akan meneruskan kempen menentang Terengganu esok, manakala skuad lelaki akan berdepan Negeri Sembilan.

Advertisement