Anda di sini

Pengurangan kadar kemiskinan, kejayaan besar kerajaan: TPM

Advertisement

TELUK INTAN: Penurunan kadar kemiskinan daripada 80 peratus ketika kemerdekaan sehingga bawah tiga peratus pada masa ini merupakan pencapaian cemerlang Malaysia dalam kalangan negara-negara membangun, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata kesungguhan pemimpin negara merangka dasar dan strategi ekonomi membolehkan negara berjaya keluar daripada kelompok negara miskin kepada negara sedang membangun dan kini sedang menuju kepada sebuah negara maju menjelang 2020.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Matlamat Pembangunan Milenium (MDG) menetapkan sasaran membasmi kemiskinan pada 2015.

“Dunia belum selesaikan masalah itu, tetapi dalam konteks Malaysia kita sudah selesaikan lebih awal daripada negara-negara lain. Itu satu pencapaian luar biasa dan membanggakan,” katanya pada majlis ramah mesra Hari Guru, di sini semalam, yang dihadiri hampir 1,000 warga pendidik di sekitar kawasan itu.

Katanya, rakyat negara menikmati kehidupan jauh lebih baik dan selesa dalam semua aspek berikutan kejayaan pelbagai dasar yang mementingkan pembangunan dan kemajuan rakyat dan negara.

Muhyiddin berkata kegigihan kerajaan dalam merangsangkan ekonomi negara juga terbukti dengan peningkatan peluang pendidikan, pekerjaan, pendapatan dan taraf hidup rakyat.

Katanya selain membangunkan dan mengoptimumkan sumber-sumber yang sedia ada, kerajaan juga berjaya menarik pelabur asing ke negara ini dan menjadikan Malaysia sebagai hab perniagaan, perindustrian dan teknologi utama di rantau ini.

“Pendapatan per kapita hari ini sudah tercapai AS$10,000 (RM32,119) dan dalam tempoh enam tahun lagi ia boleh mencecah AS$15,000 (RM48,179).

“Rakyat kalau nak dapatkan pinjaman atau bantuan kewangan daripada bank untuk menjalankan perniagaan pun tiada masalah. Kerajaan pun sediakan banyak bantuan untuk rakyat,” katanya.

Menurutnya, kedudukan Malaysia di tangga ke ke-12 dalam Laporan Tahunan Daya Saing Dunia (WCY 2014), berbanding tempat ke-15 tahun lepas juga merupakan kejayaan dalam usaha mentransfomasikan negara.

Dalam pada itu, Muhyiddin kesal pihak pembangkang bukan sahaja menghargai kejayaan yang dikecapai Malaysia, malah mengelirukan rakyat kononnya tidak membawa sebarang kemajuan kepada rakyat dan negara. — Bernama

Advertisement