Anda di sini

Penduduk berisiko dilanda banjir digalak beli insurans

Advertisement

KEMAMAN: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata kerajaan mengalu-alukan sekiranya terdapat syarikat insurans yang dapat tampil menawarkan polisi perlindungan kepada  mangsa banjir.

Beliau berkata rakyat sepatutnya menjadikan pengambilan polisi insurans sebagai satu budaya untuk kepentingan mereka.

“Kita perlu mendidik rakyat supaya pengambilan insurans itu dibudayakan sekiranya mereka mampu.

“Sekarang orang sudah boleh terima, di mana pengambilan insurans itu penting…seperti juga kita ada motosikal atau kereta, kita kena ambil insurans kerana kalau berlaku kemalangan… tidak menanggung beban terlalu  besar daripada kemalangan yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penyampaian bantuan  barangan kepada kumpulan terakhir mangsa banjir bagi kawasan Dewan  Undangan Negeri (DUN) Cukai dalam Parlimen Kemaman di sini semalam.

Sebanyak 2,400 mangsa banjir menerima bantuan barangan elektrik seperti televisyen dan peti sejuk.

Bagaimanapun, Ahmad Shabery berkata ia memerlukan satu kaedah yang menyeluruh yang tidak membebankan rakyat.

“Saya akan mencari jalan bagaimana cara untuk rakyat, kerajaan dan pihak industri dapat memainkan peranan dalam mencari kaedah terbaik supaya sekiranya berlaku banjir atau bencana alam, pihak insurans boleh membayar atau memberi ganti rugi agar bebanan itu tidak ditanggung sepenuhnya oleh rakyat dan kerajaan semata-mata,” katanya. — Bernama

Advertisement