Anda di sini

Penanda aras turun sebab pelajar gagal terap kemahiran berfikir, kata Idris

PASIR PUTEH: Penurunan penanda aras antarabangsa terhadap kemajuan pendidikan negara disebabkan kegagalan untuk menerapkan kemahiran berfikir pelajar secara lebih berkesan, kata Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh.

Beliau berkata ini berdasarkan kepada pencapaian pelajar Malaysia dari segi kreativiti dan inovasi yang agak terbelakang dalam arena pentaksiran antarabangsa.

“Untuk itu kerajaan memang serius untuk melihat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) berjaya mencapai objektifnya,” katanya pada majlis perasmian sambutan ke-13 Hari Guru peringkat negeri di Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Sufaat Tumin.

Idris berkata, bagi menjayakan PPPM kerajaan sanggup berbelanja besar antara RM25 bilion hingga RM30 bilion setahun dalam bidang pendidikan sebelum ini.

“Peruntukan terbesar adalah sebanyak RM53 bilion bagi tahun 2014 ini,” katanya.

Idris berkata, sungguhpun agenda pengisian bagi program transformasi pendidikan sedikit sebanyak menambah bebanan guru, kerajaan telah menambah baik skim perkhidmatan guru seperti kenaikan gaji, meningkatkan peluang kenaikan pangkat dan kenaikan gred.

“Ini termasuk kenaikan ke Gred DG42 bagi guru-guru bukan siswazah yang melanjutkan pelajaran untuk mendapatkan ijazah,” katanya.

Beliau berharap guru terus menyokong dan memberikan komitmen tinggi untuk menjayakan PPPM dan segala agenda kementerian demi masa depan anak bangsa dan negara.

Pada majlis itu, Mohd Adnan Mohd Noor, 56, dari Kota Baharu dan Radzi Mohamed, 65, dari Pasir Puteh, dipilih sebagai tokoh guru negeri Kelantan bagi tahun 2014. — Bernama