Anda di sini

Mencarumlah dengan PERKESO, kata Riot

Advertisement

SERIAN: Kakitangan awam dan swasta digesa mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) agar kebajikan mereka sentiasa dilindungi sewaktu menjalankan tugas.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata jumlah wajib yang perlu dicarum pekerja adalah sebanyak 0.5 peratus daripada pendapatan mereka manakala 2.25 peratus jumlah caruman akan dibayar oleh majikan mereka.

Beliau menambah, bak kata pepatah Melayu  malang tidak berbau, kita tidak tahu bila kemalangan dan kecelakaan di tempat kerja akan berlaku.

“Jadi mencarumlah, sekurang-kurangnya balu dan ahli keluarga yang masih memerlukan tidak akan mengemis.

“Kami mencuba sedaya mungkin membantu rakyat walaupun ia mungkin tidak dihargai, namun kami akan membuat sebaik mungkin sebagaimana yang telah diamanahkan,” katanya ketika berucap pada Majlis AZAM Kerja 1Malaysia di Kampung Pichin di sini semalam.

Ceramah advokasi PERKESO Sarawak turut dijalankan untuk memberi pendedahan kepada golongan pekerja tentang hak dan tuntutan mereka sebagai pencarum.

“Kami membantu rakyat, melainkan mereka sendiri tidak mahu membantu diri sendiri, saya tidak marah cuma berasa kasihan kerana kami ingin membantu,” katanya.

Pada majlis yang sama, beliau turut menyatakan bahawa Program AZAM Kerja 1Malaysia ketiga itu bertujuan meningkatkan taraf hidup isi rumah miskin dan miskin tegar yang berdaftar di bawah portal e-Kasih sejajar dengan prinsip Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Di bawah seliaan Jabatan Tenaga Kerja, program terbabit menawarkan tiga program iaitu Penempatan dan Latihan (2PL), Program Jana Pendapatan Individu (JAPI) dan Projek Komuniti.

Setakat ini, sebanyak empat program penempatan pekerjaan telah dilaksanakan di Sarawak yang melibatkan 37 peserta e-Kasih dan 204 peserta yang tidak berdaftar dengan e-Kasih.

Beliau turut menyeru agar lebih ramai rakyat yang masih belum mendaftar dengan e-Kasih agar berbuat demikian.

Kerajaan akan melaksanakan program serta mencuba sebaik mungkin membantu rakyat kerana memang menjadi impian kerajaan untuk melihat taraf sosioekonomi rakyat meningkat, ujarnya.

Advertisement