Anda di sini

Masyarakat Dayak diingatkan tidak leka ketika sibuk di dapur

Advertisement

SIBU: Dengan sambutan Hari Gawai Dayak yang hanya tinggal seminggu lagi, masyarakat Dayak terutama golongan wanita diingatkan supaya tidak leka ketika sedang sibuk di dapur.

Pengerusi Persatuan Tuai Rumah Sibu (PTRS) Linus Melin Limbang berkata, nasihat tersebut sebagai amaran atau peringatan bagi mencegah kejadian kebakaran rumah panjang yang sering berlaku.

Beliau turut memberi amaran kepada penduduk rumah panjang agar tidak melakukan penyambungan haram pendawaian elektrik kerana ia boleh menyebabkan berlakunya litar pintas.

“Semasa Hari Gawai, banyak program yang diadakan di rumah-rumah panjang yang boleh melekakan kita,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa PTRS semalam.

Mesyuarat itu bertujuan membincangkan Program ‘Gawai Ngiling Bidai’ anjuran PTRS yang akan diadakan pada 28 Jun nanti.

Menurutnya, golongan wanita yang ingin menyertai program berkenaan hendaklah memastikan dapur mereka dalam keadaan selamat sebelum meninggalkannya.

Sementara itu, Linus berkata PTRS akan terus menggalakkan Kempen Kesedaran Kebakaran Rumah Panjang.

“Kami telah menyusun satu program tersebut bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Sibu di Rumah Chendang Amabu di Sungai Assan.

“Pada 14 Jun ini, kami akan mengadakan program sama di pekarangan Perpustakaan Bawang Assan dan diikuti pada 8 Ogos depan di Rumah Sebastian Ongos di Sungai Pasai, selain dua lagi venue lain kemudian,” katanya.

Beliau turut berkongsi tip dengan penduduk rumah panjang sekiranya berlaku kebakaran di rumah panjang, mereka harus bekerjasama memadam api selain menyelamatkan harta mereka dengan membuangnya keluar.

“Apabila api baharu marak, ia sebenarnya tidak susah memadamnya dengan syarat kita bekerjasama memadamkannya daripada terus merebak.

“Tetapi kebanyakan penduduk lebih suka menyelamatkan harta benda mereka bukannya bertindak memadamkan api terlebih dahulu,” katanya.

Mengenai PTRS, beliau berkata kini mempunyai 150 tuai-tuai rumah yang mendaftar menjadi ahli.

Advertisement