Anda di sini

KPDNKK pantau dua produk coklat ditarik dari pasaran

Advertisement

Pemantauan segera pastikan pengeluar tarik balik produk

LANGKAWI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan membuat pemantauan segera bagi memastikan pengeluar coklat yang dikesan mengandungi DNA khinzir atau porsin menarik balik produk mereka dari pasaran.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata bahagian penguatkuasaan kementerian akan melakukan pemerhatian dan tinjauan di semua tempat menjual coklat import terutama di Langkawi, yang merupakan pulau bebas cukai, selain lapangan terbang dan pasar raya.

“Kita akan tengok (produk ditarik balik dari pasaran), kalau tak kita akan ambil tindakan. Kita ada kuasa di bawah Akta Perihal Dagangan selain kuasa yang ada di bawah Kementerian Kesihatan iaitu Akta Makanan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Tanggungjawab Sosial Korporat Perbadanan Nasional Berhad (PNS) Bersama Anak-Anak Yatim Rumah Nur Kasih Ulu Melaka di sini semalam.

Kementerian Kesihatan semalam mendedahkan dua sampel coklat Cadbury, iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel dan Coklat Susu dengan Buah Badam, dikesan mengandungi porsin.

Ahmad Bashah berkata pihaknya sudah memberi amaran kepada syarikat terbabit dan mereka menyatakan komitmen untuk menarik balik semua coklat yang disebut  Kementerian Kesihatan.

Mengulas Ops Titik yang dilancar baru-baru ini bagi membendung kegiatan penyelewengan diesel di seluruh negara, beliau berkata operasi itu membabitkan 10 agensi dan jabatan kerajaan.

“Ops ini adalah untuk koordinasi 10 agensi. Ada peruntukan undang-undang ataupun akta mungkin tak ada bawah KPDNKK tetapi ada bawah kementerian dan agensi lain.

“(Kuasa) nak beku harta (pesalah) kita tak ada tetapi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ada. Bila ada kerjasama, kita boleh guna semua akta bawah agensi kepada penyeludup dan penjenayah. Ia nampak bersepadu, kesannya lebih daripada bersendirian. Menerusi ops ini, boleh kata setiap hari ada tangkapan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Bashah berkata pihaknya tidak akan melindungi penguat kuasa yang berdepan siasatan SPRM dalam kes penyelewengan diesel.

“Jika ada siasatan oleh SPRM, kita akan bantu. Kita takkan lindungi pegawai-pegawai yang mengakibatkan ketirisan dan kerugian diesel dalam jumlah yang cukup besar. Bagaimanapun, sehingga kini kita tidak dimaklumkan sama ada pegawai kita terlibat atau tidak,” katanya.

Hadir sama Pengarah Urusan PNS Datuk Syed Kamarulzaman Syed Zainol Khodki Shahabudin. — Bernama

Advertisement