Anda di sini

Ketua masyarakat tidak harus racuni pemikiran rakyat untuk membenci kerajaan, kata Simoi

Advertisement

SRI AMAN: Ketua-ketua masyarakat khususnya tuai-tuai rumah di sini diminta membentuk anak-anak buah mereka menyokong kerajaan sedia ada.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri berkata, ketua masyarakat khususnya tuai-tuai rumah sememangnya mempunyai peranan penting membentuk anak-anak buah mereka menyokong kerajaan bukannya meracuni pemikiran mereka membenci kerajaan.

“Anda yang memegang jawatan sebagai tuai rumah adalah orang paling dekat dengan anak-anak buah di kawasan anda dan inilah  ‘wakil rakyat’ di kawasan pentadbiran anda.

“Justeru, anda tidak harus meracuni pemikiran rakyat membenci kerajaan sebaliknya ‘orang berkuasa’ di rumah panjang membentuk rakyat menyokong kerajaan,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Gawai 2014 di Rumah Nanyi Brandie, Gran Stumbin di sini malam kelmarin.

Katanya, banyak pembangunan dan kemajuan yang kita lihat dan ia adalah daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Oleh itu, tiada alasan rakyat menolak pembangunan kerajaan kerana kerajaan BN dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di peringkat persekutuan dan Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem di peringkat negeri telah berjaya membangunkan negara ini.

“Justeru, mereka yang pernah menyokong pembangkang seharusnya kembali semula ke pangkuan BN kerana terbukti BN adalah kerajaan terbaik dan sentiasa di hati rakyat,” katanya.

Turut hadir Penolong Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sri Aman Sharifah Ranimah Wan Hashim, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) DUN Lingga Sulaiman Amut, Pemanca Mas Shamsiah Maslem, Penghulu Joseph Lichong, ketua-ketua jabatan dan masyarakat.

Pada majlis itu, Simoi menyampaikan sumbangan Gawai berjumlah RM800 kepada rumah rumah panjang di kawasan Gran Stumbin.

Advertisement