Anda di sini

Jenazah Robia Kosai disemadi di Parit Yusof

Advertisement

MUAR: Jenazah bekas Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan Negeri Johor Dr. Robia Kosai, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Bali, Parit Yusof, Muar, tengah hari semalam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim; dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan dan Koperasi Negeri Johor Md Jais Sarday, selaku wakil rasmi Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; adalah antara kira-kira 500 orang sanak saudara, dan penduduk setempat yang hadir pada majlis pengebumian itu.

Terdahulu, jenazah Allahyarham yang tiba di kediaman Datin Azizah Samad, saudara angkat beliau di Pekan Parit Yusof pada awal pagi, disembahyangkan di Masjid Jamek, sebelum dibawa ke tanah perkuburan yang terletak kira-kira satu kilometer dari situ.

Turut mengiringi ke tanah perkuburan ialah Pegawai Kanan Kesihatan Daerah Muar Dr. Zulkifli Othman dan pegawai-pegawai lain jabatan kerajaan di daerah ini.

Isteri Menteri Besar Johor Datin Seri Rosni Omar turut menyampaikan ucapan takziah kepada kakak Allahyarham Kamariah Kosai, 76, ketika mengunjungi kediaman saudara angkat Dr. Robia.

Dr. Robiah, 65, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tawakkal, Kuala Lumpur pada kira-kira jam 8.30 malam kelmarin selepas tidak sedarkan diri selama seminggu di hospital tersebut akibat diserang sakit jantung.

Allahyarham meninggalkan dua orang anak angkat, Azarul Mahmod, 29, dan adiknya, Munawarah Mahmod, 21.

Semasa hayatnya, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Kemajuan Tanah dan Koperasi selama sepenggal pada tahun 1999 sebaik sahaja memenangi kerusi Parlimen Muar pada pilihan raya umum tahun tersebut.

Pada tahun 2004, beliau dilantik memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat selama dua penggal yang berakhir Mei tahun lepas.

Dalam UMNO, Allahyarham pernah mengetuai Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Muar selama 12 tahun dan pernah dilantik sebagai anggota Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia selama sepenggal sewaktu memegang jawatan Setiausaha Parlimen Kementerian Kemajuan Tanah dan Koperasi.

Salah seorang abangnya, Prof Madya Dr Abdul Wahab Kosai berkata Allahyarham, anak ketujuh daripada sembilan beradik itu, mula menjalani rawatan sejak dua bulan lalu di Hospital Tawakkal.

“Pada Ahad minggu lepas, dia sekali lagi dimasukkan ke hospital yang sama setelah tidak sedarkan diri sehinggalah dia meninggal dunia pada jam 8.30 malam tadi (kelmarin),” kata beliau ketika ditemui di tanah perkuburan tersebut.

Razali menyifatkan pemergian Dr. Robia adalah satu kehilangan besar kepada UMNO bahagian Muar.

Katanya, sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat, Allahyarham banyak menabur bakti kepada masyarakat Muar. — Bernama

Advertisement