Anda di sini

Hayati aspek pemanduan selamat, berhemah

Advertisement

Oleh Mastura Ismail //

Peningkatan kemalangan maut disebabkan kurangnya penghayatan terhadap aspek ini

LIMBANG: Peningkatan kadar kemalangan maut membabitkan penunggang motosikal di negara ini terutama pada musim perayaan dipengaruhi faktor kurangnya penghayatan pengguna jalan raya terhadap aspek pemanduan selamat dan berhemah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail berkata masih ramai rakyat negara ini belum memahami penggunaan jalan raya dengan lebih selamat.

“Peningkatan kadar kemalangan jiwa pada musim perayaan berkait rapat dengan sikap manusia sendiri ketika berada di jalan raya,” katanya pada Program Lalu Lintas Shell Peringkat Bahagian Limbang, di sini semalam.

Turut hadir Ketua Operasi Pengangkutan Darat, Sarawak Shell Berhad Rano Akat, wakil Residen Limbang Hamidah Halpi, wakil Pegawai Daerah Limbang Suhandi Tugiman, Wali Kota Majlis Daerah Limbang (MDL) Kaunselor Sufian Mohat, Setiausaha MDL Gustian Durani dan jemputan lain.

Dr Abdul Rahman berkata, sejumlah RM1 juta diperuntukkan syarikat Shell untuk menganjurkan Program Lalu Lintas Shell di seluruh negara termasuk RM300,000 di negeri ini.

“Program ini penting dalam mendidik pelajar mengenai peraturan dan undang-undang sebenar di jalan raya,” ujarnya.

Sementara itu, Rano menjelaskan bahawa Program Lalu Lintas Shell direka khusus untuk menyuntik kesedaran peserta selain memupuk budaya penggunaan lalu lintas secara berhemah.

“Di Shell, kami lebih suka menggunakan pendekatan berbeza, menganjurkannya dengan cara menyeronokkan, memperkenal eleman berdaya saing dan mendidik serta memberi pengajaran,” katanya.

Menurutnya, golongan muda perlu dipupuk minda ke arah membina generasi pengguna jalan raya yang bertanggungjawab.

“Keselamatan jalan raya adalah tumpuan utama dalam program tanggungjawab sosial korporat Shell.

“Pendidikan keselamatan jalan raya amat penting terutama apabila kita sedang mengorak langkah menuju ke arah status negara berpendapatan tinggi,” tambahnya.

Rano berkata ia akan memberi impak kepada jumlah kenderaan yang meningkat dan dijangka pertambahan sebanyak tiga kali ganda menjelang 2050.

“Pada masa sama, kita juga perlu prihatin terhadap kesan peningkatkan ini kepada alam sekitar,” ujarnya.

Katanya Shell sentiasa mencari jalan penyelesaian inovatif dalam menggerakkan orang ramai dan lebih banyak barangan secara selamat, murah dan mengurangkan impak alam sekitar perlu dihasilkan.

Seramai 250 pelajar melibatkan 16 sekolah rendah dan menengah di sini menyertai program itu.

Advertisement