Anda di sini

Faye Jong ungguli Intel ISEF 2014

Advertisement

Oleh Hamimi Kassim //

KEBANGGAAN: Saftuyah bersama yang lain meraikan kejayaan Faye baru-baru ini.

PERIBAHASA ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’ amat bertepatan menggambarkan kejayaan Faye Jong Sow Fei, 16, yang mengungguli Pameran Sains dan Kejuruteraan Antarabangsa Intel 2014 (Intel ISEF 2014) di Los Angeles baru-baru ini.

Siapa sangka sisa bahan buangan seperti kulit manggis, kulit rambutan, nanas, uncang teh dan sisik ikan sebagai bahan pewarna pada kain kapas membolehkannya membawa pulang wang tunai AS$8,000 (RM25,867) pada pertandingan tersebut.

Pelajar dari kelas 4 Setia, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Lintang itu menerima dua anugerah bagi projek ‘Bio-waste Materials as Eco-friendly Mordants in Fabric Dye Process’ iaitu Kategori Pengurusan Alam Sekitar Terbaik dengan membawa pulang AS$5,000 (RM16,167) dan Anugerah Utama AS$3,000 (RM9,700).

Bukan itu sahaja, kemenangan pada pameran sains bermula 11 hingga 16 Mei lalu itu melayakkannya menjadi salah seorang daripada tiga pemenang menerima lawatan yang ditanggung sepenuhnya ke Peraduan Saintis Muda Kesatuan Eropah pada September depan di Warsaw, Poland.

Merupakan anak tunggal dan bercita-cita menjadi seorang doktor, Faye memberitahu, dia telah mengambil masa selama tiga tahun melakukan penyelidikan bagi mencari pewarna semula jadi daripada bahan sisa-bio sebagai pengganti pewarna sintetik dan kimia bagi mewarnakan fabrik.

Menurutnya, sikap tidak pernah berputus asa merupakan rahsia kejayaannya sehingga kini.

“Dalam tempoh tiga tahun itu (sejak 2011), pelbagai cabaran dan dugaan dalam kajian yang saya laksanakan.

“Namun, berkat dorongan ibu bapa serta guru saya khasnya Lim Yee Chuen dan Wong Mi Ing (telah bersara) baharulah saya berjaya seperti sekarang,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Tambahnya, sebelum layak di peringkat kebangsaan projeknya itu telah beberapa kali ditolak untuk menyertai pertandingan berkenaan di peringkat negeri.

“Sejak itu, saya tidak pernah berputus asa. Impian saya bukan sahaja untuk mengambil bahagian tetapi juga menang besar dalam ISEF.

“Saya berasa sangat gembira apabila usaha saya membuahkan hasilnya selepas tiga tahun,” katanya sambil menambah, wang yang dimenanginya itu akan disimpan untuk pendidikannya.

IMPIAN TERCAPAI: Faye menunjukkan sijil Intel ISEF 2014.

Terdahulu, Pengetua SMK Batu Lintang Saftuyah Adenan dalam ucapannya melahirkan rasa bangga dengan kejayaan Faye yang bukan hanya mengharumkan nama sekolah, malah Malaysia secara amnya.

“Kejayaan Faye ini merupakan kejayaan terbesar kita sejak pertama kali menyertai Intel ISEF pada tahun 2002.

“Pada tahun 2005 dan 2012 kita mendapat Anugerah Utama Ketiga, tahun lepas kita hanya mendapat tempat ketiga dan selebihnya kita hanya menjadi peserta akhir di peringkat antarabangsa,” katanya menambah tahun mereka tidak menghantar wakil adalah tahun 2003, 2008 dan 2010.

Tambahnya lagi, Faye hampir tidak dapat menyertai Intel ISEF 2014 pada peringkat antarabangsa kerana hanya mendapat tempat ketiga pada peringkat kebangsaan di Pahang.

“Faye bernasib baik kerana pada permulaannya, kementerian pendidikan menetapkan hanya pemenang tempat pertama dan kedua sahaja dihantar untuk mewakili Malaysia dan kita bersyukur kerana dia juga diberi peluang mewakili Malaysia ke Los Angeles,” ceritanya.

Saftuyah memberitahu, sekolah turut mendapat habuan daripada kemenangan Faye bagi Kategori Pengurusan Alam Sekitar Terbaik iaitu AS$1,000 untuk sekolah dan AS$1,000 bagi persatuan yang diwakilinya (Persatuan Sains dan Matematik).

Bercerita mengenai Intel ISEF 2014, seramai 12 pelajar (empat individu dan empat pasukan) mewakili Malaysia ke pertandingan sains sekolah terbesar di dunia yang mana ia melibatkan lebih daripada 1,700 pelajar dari 70 negara yang berbeza.

Advertisement